Buletin

TOYOTA ECO YOUTH 2024 TUTUP TIRAI – SMK CHOONG HUA, PERAK DINOBATKAN SEBAGAI JUARA

Toyota Eco Youth (TEY) edisi ke-23 berakhir dengan penuh kejayaan dalam sebuah majlis gilang-gemilang di Concorde Hotel, Shah Alam, selepas konvensyen dan pameran selama tiga hari dari 12 hingga 14 November 2024.

Acara ini menonjolkan dedikasi Toyota terhadap alam sekitar dengan pameran projek daripada 10 finalis terbaik yang terpilih daripada 15 sekolah di seluruh negara, sejajar dengan visi Toyota mencapai neutral karbon pada 2050.

Program Toyota Eco Youth, yang bermula pada 9 Mei 2024, melibatkan pelajar berusia 13 hingga 17 tahun dari pelbagai sekolah di Malaysia.

Para peserta didedahkan kepada “Metodologi Penyelesaian Masalah 8 Langkah Toyota,” yang bertujuan mengembangkan kemahiran pemikiran kritis dan penyelesaian masalah secara praktikal.

Setiap sekolah menerima geran RM3,000 untuk membangunkan projek berimpak tinggi dalam menangani isu-isu ekologi setempat, selaras dengan Cabaran Alam Sekitar Toyota 2050.

Pada 13 November 2024, 10 sekolah terbaik membentangkan projek mereka kepada panel juri, yang menilai berdasarkan keaslian, kejelasan, kerelevanan, dan kreativiti projek yang ditonjolkan.

Penilaian di tapak pameran menyumbang 40 peratus markah akhir, dengan tambahan mata diperoleh melalui pembentangan, pameran, dan penglibatan media sosial.

Berikut adalah senarai 10 finalis terbaik dalam Toyota Eco Youth 2024:

  • SMK Bukit Batu, Johor
  • SMK Alor Janggus, Kedah
  • SMK Sultan Ismail, Kelantan
  • SMK Seri Bentong, Pahang
  • SMK Choong Hua, Perak
  • SM Sung Siew Sandakan, Sabah
  • SMK Bukit Indah, Selangor
  • SMK Bandar Samariang, Sarawak
  • SM Saint Anne, WP Labuan
  • SMK Putrajaya Presint 8(1), WP Putrajaya

Majlis penutupan menyaksikan pengumuman pemenang dalam pelbagai kategori, sebagai penghargaan atas sumbangan mereka terhadap kelestarian alam sekitar.

Berikut adalah senarai pemenang:

  • Juara: SMK Choong Hua, Perak
  • Naib Juara: SM Sung Siew Sandakan, Sabah
  • Tempat Ketiga: SMK Alor Janggus, Kedah
  • Pembentangan Terbaik: SM Sung Siew Sandakan, Sabah
  • Pameran Terbaik: SMK Alor Janggus, Kedah
  • Media Sosial Terbaik: SMK Choong Hua, Perak
  • Guru Penasihat Terbaik: Mr. Lee Tack Hooi & Ms. Yeak Hwai Keen, SMK Choong Hua, Perak

Hadiah bernilai RM77,000 telah diperuntukkan sebagai sebahagian daripada usaha UMWT merangsang kreativiti dan inovasi dalam kalangan pelajar muda.

Sejak diperkenalkan pada 2001, Toyota Eco Youth telah berkembang menjadi program pendidikan alam sekitar kebangsaan, dengan lebih 300,000 pelajar daripada hampir 600 sekolah di Malaysia terlibat.

Program ini juga mencerminkan tanggungjawab sosial korporat (CSR) UMWT dalam mendidik generasi muda untuk menghadapi cabaran ekologi komuniti setempat, dengan slogan “Move Your World.”

UMW Toyota turut mengumumkan akan meneruskan program Toyota Eco Youth pada 2025 untuk terus menyokong bakat muda dan meningkatkan kesedaran tentang kepentingan pemuliharaan alam sekitar.

Melalui inisiatif ini, UMWT berharap dapat menginspirasi generasi masa depan dalam usaha ke arah masa depan yang lebih lestari dan hijau.

Untuk maklumat lanjut mengenai program Toyota Eco Youth, layari https://www.toyota.com.my/toyotaecoyouth/

Google ads
Back to top button