Buletin

BYD SEALION 7 RASMI DILANCARKAN DI MALAYSIA: DUA VARIAN, JARAK GERAK 567KM, HARGA BERMULA RM183K

Sime Darby Motors, pengedar rasmi kereta BYD di Malaysia, secara rasmi melancarkan BYD Sealion 7 untuk pasaran tempatan.

Hadir dalam dua varian Premium dan Performance, ia ditawarkan pada harga RM183,800 (Premium), manakala varian Performance diberi tanda harga pada RM199,800. 

Dari segi dimensi, Sealion 7 mempunyai panjang 4,830mm, lebar 1,925mm, dan tinggi 1,620mm dengan jarak antara roda 2,930mm, menjadikannya sedikit lebih besar daripada model BYD Seal.

BYD Sealion 7 tiba dalam empat pilihan warna iaitu;

  • Cosmos Black(Hitam)
  • Aurora White (Putih)
  • Atlantis Grey(Kelabu Atlantis)
  • Shark Grey(Kelabu Jerung)

Sealion 7 yang berasaskan seni bina Ocean X Design ini menampilkan gril atas berbentuk bar yang menyambungkan lampu utama LED ‘terapung’ berbentuk-C, lampu nyalaan siang LED dan corong udara bersaiz besar.

Model ini diserlahkan lagi melalui roda aloi 19-inci untuk varian Premium, sementara varian Performance pula dilengkapi roda 20-inci.

Di dalam kabin, ia dilengkapi skrin sentuh berputar 15.6-inci dengan perisian Apple CarPlay dan Android Auto, sistem audio DYNAUDIO 12-pembesar suara, bumbung kaca panorama serta penyaman udara automatik dwizon.

Beralih pada kuasa, varian Premium membawakan gandingan hebat kuasa dan jarak perjalanan, dengan kuasa 230kW dan tork 380Nm.

Gandingan padu ini membolehkan BYD Sealion 7 memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam masa hanya 6.7 saat.

Menawarkan jarak perjalanan elektrik sehingga 567km dengan sekali cas, pilihan Premium sememangnya sempurna bagi perjalanan di sekitar bandar dan pemanduan jarak jauh.

Bagi mereka yang inginkan prestasi lebih hebat lagi, varian Performance menjanjikan kuasa yang lebih tinggi.

Dengan kuasa 390kW dan tork 690Nm, kenderaan ini mampu memecut 0-100 km/j dalam masa hanya 4.5 saat, menawarkan jarak gerak sejauh 542km.

BYD Sealion 7 dilengkapi dengan Blade Battery inovatif, yang menjanjikan tahap keselamatan lebih tinggi, kekuatan optimum dan prestasi tahan lama.

Bateri ini menyokong kedua-dua pengecasan AC (Jenis 2) 11kW dan pengecasan pantas DC (CCS 2) 150kW.

Selain itu, teknologi Vehicle to Load (V2L) menawarkan ciri serba boleh, membolehkan BYD Sealion 7 bertindak sebagai sumber kuasa yang boleh dipercayai bagi peranti luar.

Untuk aspek keselamatan, BYD Sealion 7 ini dilengkapi sembilan beg udara, kamera 360-darjah, sistem Pemantauan Tekanan Tayar (TPMS), cagak ISOFIX untuk tempat duduk kanak-kanak, ABS, Brek Parkir Elektronik (EPB), ESC, cermin pandang belakang auto-kelam, serta kelengkapan DiPilot 100 ADAS yang terdiri daripada 12-penderia ultrasonic, gelombang radar 5mm dan 11 kamera omni-view.

Bukan itu sahaja, turut disertakan adalah ciri bantuan pemandu seperti kawalan kelajuan adaptif, Brek Kecemasan Autonomous (AEB), Amaran Pelanggaran Hadapan dan Belakang (FCW, RCW), Pengesan Titik Buta (BSD), bantuan lampu tinggi dan Amaran Ketibaan Lorong (LDA).

Seperti dinyatakan di atas, BYD Sealion 7 ditawarkan pada harga RM183,800 (Premium), manakala varian Performance diberi tanda harga RM199,800. 

BYD Malaysia juga menawarkan pengecas rumah percuma dan juga kredit pengecasan bernilai RM800 untuk pembelian mana-mana varian Sealion 7 yang didaftarkan menjelang 31 Disember 2024.

GALERI:

Google ads
Back to top button