Buletin

KILANG PROTON DILANCARKAN DI MESIR, PEMASANGAN TEMPATAN BERMULA DISEMBER

Syarikat pengeluar kereta nasional, PROTON, melakar sejarah dengan perasmian kilang pemasangan tempatan (CKD) baharu di Kaherah, Mesir, yang dirasmikan oleh Perdana Menteri Malaysia, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim.

Majlis ini turut dihadiri oleh Timbalan Perdana Menteri Mesir, H.E. Leftenan Jeneral Kamel Al-Wazir, serta beberapa menteri dari Malaysia dan Mesir.

Kilang yang terletak di Taman Perindustrian Al Oula di Giza ini dimiliki oleh Ezz Elarab Elsewedy Automotive Factories (ESAF), hasil kerjasama Ezz Elarab dan Elsewedy Capital Holding.

Dengan pelaburan bernilai AS$35 juta (RM156 juta), fasiliti ini mampu menghasilkan 20,000 unit dalam satu syif dan dijangka menyediakan 400 peluang pekerjaan apabila beroperasi sepenuhnya.

PROTON dijangka memulakan operasi pemasangan kereta Pemanduan Tangan Kiri (LHD) Proton Saga pada Disember 2024, dengan sasaran produksi sebanyak 1,400 unit pada tahun pertama.

Pengeluaran akan meningkat kepada 5,000 unit pada tahun berikutnya, dengan unjuran tiga tahun menunjukkan eksport 16,000 unit CKD ke Mesir bernilai RM570 juta menjelang 2026.

Perdana Menteri, dalam ucapannya, menyatakan bahawa Proton merupakan lambang kebanggaan Malaysia dan berharap kerjasama ini akan memperkukuh kehadiran Proton di Mesir dan Afrika Utara.

Kilang CKD ini juga dijangka menjadi asas bagi Proton mengembangkan pasaran di Timur Tengah dan Sub-Sahara, membawa lebih nilai kepada industri automotif Malaysia.

Google ads
Back to top button