TOYOTA INNOVA ZENIX HYBRID, 19.5KM/LITER
Toyota Innova adalah salah satu contoh bagaimana Toyota memahami kehendak dan keperluan pengguna bagi pasaran Asia Tenggara, dengan menghasilkan MPV menggunakan kerangka ladder frame. Bagi pasaran Indonesia, cesi ladder frame adalah sangat sesuai dengan keadaan permukaan jalan yang lebih mencabar.
Atas sebab inilah walaupun Innova generasi terbaru menggunakan platform TNGA-C sama seperti Corolla, Cross, Prius, Voxy, dan juga Noah tetapi datang dengan rekaan yang cukup berbeza. Rekaan luar Innova Zenix adalah seperti meniru rekaan SUV iaitu Toyota Highlander, berbanding dengan rekaan Noah atau Voxy yang datang seperti MPV berkotak
Namun cesi monocoque baru ini memberikan ruang yang lebih baik, dengan jarak antara roda 100mm lebih panjang berbanding dengan Innova yang lama. Malah Innova Zenix juga datan dengan jarak kelegaan permukaan bumi yang jauh lebih tinggi iaitu 185mm berbanding dengan 165mm yang digunakan oleh Noah/Voxy
Approach angle dan departure angle juga direka dengan memudahkan Innova Zenix melalui jalan tidak berturap, dengan short overhang. Pendek kata Toyota Innova Zenix dihasilkan dengan konsep innovative multipurpose crossover, dengan rekaan luar seperti crossover tetapi ruang dalam luas seperti MPV.
Berbeza dengan Innova lama yang menggunakan enjin yang bising seperti enjin kapal terbang, varian hibrid dibekalkan dengan sistem hibrid dikenali sebagai Toyota 5th Generation Hybrid System. Sistem hibrid terdiri daripada gabungan enjin Dynamic Force 2000cc M20A-FXS, motor elektrik dan juga bateri.
Enjin 4 silinder ini sebenarnya direka untuk beroperasi dalam keadaan paling efisyen, menggunakan kitaran atkinson, nisbah mampatan 14:1, sistem suntikan D-4S serta sistem pemasaan injap VVTi-Electric yang menggunakan motor elektrik di dalam aci sesondol.
Enjin ini menjana 150 kuasa kuda dan 188Nm tork, manakala motor elektrik yang dipasang dalam transmisi planetary gear set pula menjana 111 kuasa kuda dan 206Nm tork. Kombinasi enjin dan motor elektrik ini menjana sehingga 184 kuasa kuda dan 241Nm tork.
Selain daripada motor elektrik, Innova Zenix juga menerima beberapa komponen tambahan lain seperti:
1. Inverter Converter – menerima kuasa elektrik dari bateri, dan mengawal kuasa ke motor generator di dalam transmisi planetary gear set. Pada masa sama ia akan mengecaj bateri 12 volt
2. Motor generator 2- menukar kuasa elektrik menjadi tenaga mekanikal untuk menggerakkan kenderaan atau mengecaj bateri hibrid apabila brek ditekan atau semasa menuruni bukit
3. Motor Generator 1 – berfungsi untuk menghidupkan enjin & disebabkan saiznya lagi besar dari motor penghidup konvensiona, operasi Start/Stop adalah sangat lancar. Motor ini juga akan mengecaj bateri hibrid pada masa sama dengan bantuan enjin sekiranya ada lebihan kuasa
4. Power Split Device – gabungan motor generator 2 dan planetary gear seat disebut sebagai Power Split Device. Operasinnya sama seperti unit CVT dengan menerima kuasa daripada motor generator 2 dan menerima kuasa daripada enjin.
Power Split Device ini akan mengimbangkan kuasa dari enjin atau motor generator 2, memilih untuk menggunakan enjin atau motor elektrik atau gabungan enjin dan motor elektrik bagi menggerakkan Innova Zenix
Disebabkan operasinya sama seperti CVT dan Toyota tidak mahu pengguna menjadi pening, Power Split Device ini dinamakan sebagai e-CVT.
5. Pek bateri nickel metal hydride dengan kapasiti sebesar 1310Wh, lengkap dengan sistem ventilasi untuk penyejukan untuk menjadikan operasi bateri lebih cekap. Berdasarkan ujian sebenar di atas jalan raya, penulis berjaya mencatatkan bacaan 19.5km/liter petrol dengan halaju antara 110-120km/jam.
Rekaan papan pemuka dan susun atur suis serta kawalan adalah sama seperti Innova Zenix Petrol, dengan kedudukannya adalah tinggi terutama skrin depan yang sedikit menganggu penglihatan ke arah depan. Namun rekaan ini masih mengekalkan ergonomik yang bagus.
Ciri-ciri moden seperti sambungan Apple Car Play, Android Auto, poin pengecas jenis C dan A, gabungan meter analog dan digital turut disediakan. Cuma penulis kurang berkenan dengan kedudukan tombol gear yang berada di papan pemuka, bukannya di konsol tengah seperti Alza.
Jika anda menggunakan mode pemanduan sport, anda juga boleh mengawal 6 gear yang disediakan dengan menggunakan paddleshift. Barisan kedua pula menawarkan 2 tempat duduk kapten, lampu pencahayaan kabin, corong penyaman udara, suis penyaman udara dan cermin suria yang disukai oleh kanak-kanak
Ruang barisan ketiga menawarkan 3 tempat duduk, yang mungkin sesuai untuk kanak-kanak atau 2 penumpang dewasa. Turut disediakan ialah ruang untuk meletak minuman, corong penyaman udara dan satu soket 12volt di barisan ke tiga.
Jangan risau berkenaan dengan sistem hibrid yang kami terangkan di atas, kerana sistem ini akan bekerja sendiri tanpa perlu menerima apa-apa input daripada pemandu selain daripada menekan pedal minyak seperti biasa.
Tetapi pemandu diberikan 3 pilihan mod pemanduan samaada Power untuk kuasa maksimum dan penggunaan enjin yang kerap, Normal untuk operasi hibrid biasa dan mode Eco yang akan mengurangkan kuasa penyaman udara serta kebergantungan pada enjin.
Anda juga diberikan mod EV, membenarkan Innova dipandu dalam mod elektrik sepenuhnya tetapi dalam halaju dan jarak yang terhad. Berdasarkan pengalaman penulis mungkin daripada pagar rumah sehingga ke pondok pengawal ataupun sehingga ke masjid yang berhampiran
184 kuasa kuda dan 241Nm tork mungkin lagi kurang daripada Proton X90, tapi sebenarnya sudah cukup untuk pemanduan harian dan operasi yang normal. Mungkin tidak cukup jika dibawa berlumba dan dibawa secara agresif.
Kuasa yang dijana oleh motor elektrik membantu Innova mendapat pecutan yang lebih berkuasa daripada model yang sebelumnya ataupun Innova varian petrol. Enjin akan beroperasi pada bila-bila masa yang difikirkan sesuai, mungkin akan menyebabkan sedikit bunyi bising sewaktu mengecaj enjin dan mungkin beroperasi ketika anda memecut deras
Pendek kata anda tidak akan tahu adakah Innova ini sedang bergerak dengan menggunakan motor, enjin atau kedua duanya sekali. Perubahan kuasa daripada motor ke enjin dan sebaliknya berlaku dengan lancar tanpa sebarang bunyi.
Tetapi jika anda menekan pedal brek, operasi pemberhentian berlaku dengan lancar dengan gabungan brek regeneratif yang mengecaj bateri hibrid dan juga brek konvensional biasa. Ingat, tak semua kereta hibrid datang dengan brek yang bagus kerana ada sesetengah kereta hibrid terlalu bergantung pada brek regeneratif dan menyebabkan kenderaan terasa menggelungsur sewaktu membrek.
Disebabkan Innova Zenix adalah MPV keluarga, stering dirasakan sedikit ringan sewaktu memandu perlahan termasuklah ketika menggunakan mode Sport. Ia hanya akan menjadi berat sedikit sewaktu Innova ini dipandu dengan laju.
Namun anda tidak ingin memandu Innova dengan laju terutama di selekoh kerana ia dibekalkan dengan suspensi yang lembut dan tinggi (long travel suspension). Innova boleh menyerap semua kecacatan permukaan jalan dengan baik, menyebabkan semua penumpang tidur dengan lena
Tetapi ia akan menyebabkan pusat graviti berada tinggi daripada biasa, menjadikan olengan cesi sewaktu mengambil selekoh terasa sedikit ketara. Mungkin dengan menurunkan 2 gear dengan menggunakan paddleshift sebelum mengambil selekoh sedikit membantu memberikan cengkaman dan engine braking, tetapi tidak banyak
Pada hemat penulis, Innova Zenix Hybrid ini wajar dipandu dengan berhemah, menawarkan pemanduan yang selesa untuk seisi keluarga dan penjimatan penggunaan petrol. Ia juga dilindungi oleh sistem keselamatan aktif Toyota Safety Sense, kamera 360 darjah, sistem pengawasan tekanan tayar, sistem amaran papan tanda jalan raya dan juga sistem pemanduan adapatif
Apa yang menarik ialah sistem pemanduan adapatif ini akan bekerjasama dengan sistem amaran papan tanda jalan raya, mengingatkan pemandu agar menurunkan halaju kenderaan dan juga bahaya lain yang dipaparkan di tepi jalan raya.
Sekiranya anda berminat dengan Innova Zenix ini, anda kena terima beberapa kelemahan yang ada seperti rekaan luar yang tidak selari dengan harga RM 202,000, dan juga rekaan papn pemuka yang kurang menarik serta diposisikan sedikit tinggi berbanding biasa.
Tetapi dengan khabar angin bertiup kencang berkenaan kenaikan harga petrol, Toyota Innova Zenix adalah pilihan yang tepat jika anda mahukan sebuah kereta keluarga yang besar, jimat minyak dan selesa