Buletin

SELEPAS CARLOS GHOSN, KINI GILIRAN SAIKAWA PULA DISOAL SIASAT

Ketua Pegawai Eksekutif Nissan Motor Co., Hiroto Saikawa dijangka disoal siasat oleh ahli lembaga pengarah berikutan seorang bekas eksekutif kanan mendakwa dia melanggar peraturan syarikat ketika membeli sebuah rumah di Tokyo. 

Saikawa akan disoal dalam satu mesyuarat luar biasa, sama ada tarikh menghalang penjualan saham pampasan telah diubah pada tahun 2013.

Langkah itu didakwa membolehkan Saikawa mendapat keuntungan lebih tinggi dan membuat pembayaran bagi memiliki hartanah tersebut. 

Ekskutif Kanan Nissan itu juga akan disoal sama ada dia ada meminta Nissan untuk membeli rumah berkenaan terlebih dahulu, sebelum dibayar semula secara ansuran. 

Salah laku itu ditimbulkan oleh Greg Kelly dalam satu temubual yang diterbitkan oleh majalah Bungei Shunju pada awal Jun lalu. 

Sedia maklum bahawa Kelly ditahan pada November bersama bekas Ketua Pegawai Eksekutif Nissan, Carlos Ghosn atas tuduhan melakukan jenayah kewangan. 

Saikawa bagaimanapun menafikan dia menggunakan dana syarikat untuk membeli rumah. Sebaliknya menegaskan dia menggunakan duit sendiri. Dia juga enggan berbincang mengenai transaksi itu dengan ahli lembaga pengarah Nissan. 

Kepimpinan Saikawa kini dipersoalkan selepas Ghosn ditahan, walaupun dia dicadang untuk meneruskan tugas sebagai Ketua Pegawai Eksekutif oleh panel tadbir urus Nissan. Saikawa sebelum ini menyatakan dia akan melepaskan jawatan sebaik sahaja tadbir urus Nissan menjadi lebih baik. 

Tetapi dia menarik semula kenyataan itu dan menyatakan akan terus bertindak sebagai Ketua Pegawai Eksekutif demi memikul tanggungjawab yang ditinggalkan oleh Ghosn. 

Saikawa terus menerima tekanan apabila hubungan dengan Renault SA yang memiliki 43 peratus Nissan semakin merosot. 

Keadaan menjadi semakin meruncing apabila Pengerusi baru Renault, Jean-Dominique Senard memberi tekanan untuk bergabung. Renault juga dilihat meneruskan usaha untuk bergabung dengan Fiat Chrysler Automobiles NV tanpa memberitahu Nissan. 

Tags
Google ads
Back to top button