Buletin

MALAYSIA AIRLINES AKAN DIJUAL JIKA ADA TAWARAN BAIK – PM

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamed memberitahu bahawa Malaysia bersedia mempertimbangkan menjual syarikat penerbangan nasional Malaysia Airlines Bhd (MAB) jika ada tawaran yang baik untuk syarikat itu.

Bagaimanapun, beliau berkata kerajaan mesti memastikan pembeli berpotensi dapat menguruskan syarikat penerbangan dengan baik supaya masa depannya terjamin.

“Kami telah menukar pengurusan mereka (Malaysia Airlines) berkali-kali, setiap kali kami berharap mereka akan melakukan sesuatu untuk memulihkan syarikat namun mereka gagal … (jadi) sekarang kita mahu menjualnya, tetapi jika kita menjual kepada orang yang akan gagal lagi, ia memang tak berbaloi.

“Kami (kerajaan) perlu berhati-hati ketika memilih pembeli,” katanya semasa sesi bertajuk ‘Masa Depan Malaysia dan ASEAN’ dengan ketua koresponden antarabangsa, Asia Tenggara, Televisyen Bloomberg Haslinda Amin, sempena Sidang Kemuncak Perniagaan ASEAN di Bangkok, Thailand hari ini.

Dr Mahathir berkata masih ada pelbagai pilihan yang boleh dipertimbangkan oleh kerajaan dari segi masa depan syarikat penerbangan, termasuk melaksanakan langkah penstrukturan semula atau suntikan tunai oleh kerajaan.

“Mungkin mengubah pengurusan sekali lagi dan mungkin menyusun semula atau menyuntik sedikit wang kerajaan dan perkara-perkara seperti itu, ada banyak pilihan lain,” katanya.

Apabila ditanya oleh moderator mengenai apa yang menjadi pilihan terbaik untuk Malaysian Airlines sekarang, Dr Mahathir berkata: “Jika ada tawaran yang baik, maka kami akan mempertimbangkan (menjual syarikat penerbangan).”

KREDIT: BERNAMA

Google ads
Back to top button