Buletin

RAJA BUAH HAMPIR ‘BUNUH’ PEMANDU LORI DAN PENUMPANG

Musim durian kali ini perlu lebih berhati-hati dengan penangan raja buah. Dua leIaki cedera apabila lori yang dipandu salah seorang mangsa hilang kawalan berikutan sebiji durian ‘melompat’ masuk ke dalam kenderaan itu.

Dalam kejadian kira-kira pukul 9 pagi, Khamis lalu, juruteknik penghawa dingin, Lim Chai Huat bersama dua lagi pekerja Bangladesh dalam perjalanan dari Paya Terubong ke Balik Pulau untuk membaiki penghawa dingin.

Pemandu lori, Chai Huat hilang kawalan sebelum merempuh kenderaan yang  parkir di bahu jalan Balik Pulau apabila sebiji durian melayang masuk ke bahagian sisi tingkap kenderaan terbabit.

Dia mengalami kecederaan di bahagian kepala dan tangan manakala seorang pekerja turut cedera di kaki serta tangan. Seorang lagi mangsa yang duduk di belakang lori tidak mengalami sebarang kecederaan.

Menurut majikan mereka, Lim Beng Huat, 44, dia mengesyaki durian berkenaan terjatuh dari pokok ataupun kenderaan yang membawa raja buah itu.

“Durian tersebut telah memasuki lori melalui tingkap di bahagian pemandu sehingga terkena kepala mangsa.

“Saya telah membuat laporan polis pada pukul 2 petang dan bersyukur mereka tidak mengalami kecederaan serius,” katanya.

Mangsa telah dibawa ke Hospital Balik Pulau untuk rawatan lanjut. – thestar

Google ads
Back to top button