Buletin

3,500 KERETA SEWA BERHAMPIRAN LAPANGAN TERBANG ANTARABANGSA FLORIDA MUSNAH TERBAKAR

Satu kebakaran besar yang berlaku berhampiran Lapangan Terbang Antarabangsa Florida, Amerika Syarikat menyebabkan lebih 3,500 buah kereta sewa musnah. 

Kebakaran yang berlaku di kawasan lapang seluas 15 ekar itu pada awalnya melibatkan hanya 20 buah kereta, Namun, ketika pasukan bomba berusaha untuk memadamkan kebakaran, api yang marak sudah merebak dan memusnahkan lebih banyak kenderaan. 

Pakar mitigasi Perkhidmatan Perhutanan Florida, Melinda Avni memberitahu pihak bomba dihubungi sekitar jam 5.00 petang. “Apabila kami tiba di lokasi kejadian, kenderaan yang terbakar semakin banyak dan kami sudah tidak tahu berapa jumlahnya.” 

Asap hitam yang menyelubungi udara dapat dilihat dengan jelas dari jauh di sekitar kawasan Fort Myers, bandar yang dihuni oleh 82,000 orang penduduk. Unit penerbangan Charlotte County melakukan sekurang-kurangnya 80 simbahan air dari udara untuk membantu memadam kebakaran. 

Kawasan berumput di sekelilingnya membuatkan api marak dengan lebih pantas. Namun, tidak ada struktur bangunan lapangan terbang yang terjejas. Tiada kecederaan dilaporkan dan punca kebakaran sedang disiasat. 

Jurucakap lapangan terbang, Arlene Salac menyatakan bahawa kebakaran itu bagaimanapun tidak menjejaskan kepada operasi atau trafik udara lapangan terbang.

Google ads
Back to top button