Pandu Uji

VOLKSWAGEN GOLF R – KERETA SPORT PELBAGAI GUNA

Ini pendapat peribadi penulis. Semua peminat kereta harus memandu Mazda Miata MX-5 sekali seumur hidup untuk merasai pengalaman pemanduan sebenar. Pemanduan yang menyebabkan anda ketagih untuk memandu setiap hari, menekan pedal klac dan juga menukar gear manual

Anda akan rasakan Mazda Miata adalah sebuah kereta sport yang direka khusus untuk memberikan keseronokan pada harga mampu milik di luar negara. Namun untuk memandu Mazda Miata setiap hari akan memberikan pelbagai cabaran logistik untuk kehidupan seharian sekiranya anda sudah berkeluarga dan memiliki anak

Anda perlukan sebuah kereta sport yang boleh digunakan untuk membawa anak-anak anda ke sekolah, pergi balik kerja dan singgah ke kedai runcit untuk membeli barangan keperluan maka Mazda Miata bukanlah sebuah kereta yang boleh dipandu setiap hari

Ia hanya memuatkan 2 penumpang sahaja dan ruang kargo sebesar 130 liter mungkin sekadar boleh meletak beg sekolah anak, beg laptop, 3 buku roti dan 3 kotak air minuman sahaja. Apa yang penulis tegaskan ialah – Mazda Miata kurang praktikal

Keadaan ini menyebabkan anda perlu kembali menggunakan sedan dan crossover untuk menguruskan aktiviti kehidupan seharian. Melainkan anda membeli Volkswagen Golf GTi ataupun pilihan yang lebih berkuasa iaitu Golf R

Bayangkan anda ada sebuah kereta sport dengan 4 pintu untuk 5 penumpang duduk dengan selesa, rekaan luar hot hatch, ruang bagais sebesar 381 liter, enjin yang berkuasa dan sistem pacuan semua roda untuk meratah selekoh. Ini memang kereta sport yang ideal

Malah kusyen tempat duduk di belakang boleh dilipat bagi membesarkan ruang kargo menjadi 1230 liter sekiranya anda perlu mengangkut tayar perlumbaan untuk ke litar kelak. Memang Volkswagen Golf R adalah lebih praktikal berbanding dengan Mazda Miata, Toyota GR 86 ataupun Toyota GR Supra

Dari segi luaran, Golf R menerima kemasan yang lebih baik berbanding dengan varian GTi. Antaranya ialah sistem ekzos titanium Akrapovic, spoilerm rim 19 inci Estoril, dan tayar Bridgestone Potenza. Bagi sistem cesi, ia dipasang dengan Special Mode Nurburgring dan Drift Mode

Malah bahagian sub kerangka depan dihasilkan dengan menggunakan aluminium, cesi 20mm lebih rendah, spring rate 10% lebih kuat, sistem pacuan semua roda menerima ciri Torque Vectoring termasuklah penggunaan Limited Slip Differential pada bahagian belakang, cakera brek 357mm berliang di depan dan cakera brek 310mm

Sistem suspensi juga boleh dilaras kekerasannya mengikut mode pemanduan yang dipilih samaada Comfort, Sport, Race atau Individual. Lampu depan LED lengkap dengan ciri Auto High Beam, kamera undur dan juga parkir sensor

Ruang kabin pula didominasi dengan penggunaan kulit berwarna hitam yang disulami dengan kemasan warna biru Lapiz, skrin 10 inci Discovery Pro System lengkap dengan Apple Car Play & Android Auto tanpa wayar, 10 pembesar suara Harman Kardon yang menjana 480 watt, poin mengecas telefon dan pengecas telefon tanpa wayar

Butang butang fizikal utama seperti unit penyaman udara, butang parkir kamera, mode pemanduan dan butang IQ Drive diletakkan pada papan pemuka untuk akses mudah. Terdapat beberapa butang kawalan dipasang pada roda stering seperti unit kawalan sistem pemanduan adaptif automatik

Unit penukar gear adalah lebih besar dan agresif berbanding dengan varian GTi dipasang di belakang stering. Meter digital dan unit Head Up Display akan memastikan pemandu kekal memberikan perhatian pada jalan raya sepanjang masa

Penulis amat berpuas hati dengan kualiti kusyen pemandu lengkap dengan ciri bantuan kuasa elektrik dan ciri penyejukan. Malah rekaan kontur bahagian belakang dan sokongan pada bahagian tempat duduk membolehkan pemandu kekal selesa selama 2 jam dan pada masa sama membantu penulis memandu agresif dengan selamat

Terdapat 30 warna pilihan yang disediakan pada lampu kabin malam yang akan menerangi bahagian kabin dari depan sehingga ke belakang. Bagi penulis, rekaan dalaman Golf R adalah amat berkualiti, sporti, tidak terlalu semak dan pada masa sama kelihatan premium

Enjin 2000cc 4 silinder EA888 merupakan enjin revolusi ke 4 yang dihasilkan dibawah model EA888. Bagi generasi ke 4, enjin 4 silinder 2000cc turbo ini menjana sehingga 320 PS dan 400Nm tork antara 2000 ke 5600 RPM

Semua kuasa dihantar ke transmisi 7 kelajuan DSG sebelum diagihkan secara elektronik melalui sistem pacuan semua roda 4Motion. Ia menawarkan cengkaman luar biasa bagi membolehkan Golf R memecut dari 0-100km/jam dalam masa 4.8 saat dengan halaju dihadkan kepada 250km/jam

Berikut ialah pemerhatian penulis sepanjang memandu uji Golf R Performance Package:

1. Penggunaan bahan api efisyen – penulis memandu dalam 3 senario keadaan iaitu memandu laju di lebuhraya, pemanduan bercampur lebuh raya dan jalan biasa, serta pemanduan berhemah. Dalam Race Mode, Golf R memberikan bacaan purata 10.55km per liter iaitu angka yang mengejutkan memandangkan keadaan pemanduan yang agresif

Angka ini boleh meningkat kepada 11.3km per liter dalam pemanduan biasa dan menjadi 13.5km/liter jika anda memandu dengan halaju tidak melebihi 125km/jam di atas lebuh raya.

2. Respon enjin – berbeza dengan Miata yang dipandu oleh penulis, Miata memerlukan anda mengerah enjin pada RPM tinggi untuk menghasilkan kuasa. Namun Golf R dengan bantuan turbo menjadikan pemanduan pada 110km/jam seperti berjalan-jalan di taman

Pada halaju tinggi, RPM enjin kekal di antara 2000 ke 3000 RPM melainkan anda memaksa penukaran gear dibuat untuk mendapatkan engine braking. Bunyi deruman enjin dan ekzos memberikan komunikasi 2 hala dengan pemandu, menjadi lebih senyap pada mode Comfort dan paling kuat pada mode Racing dan Nurburgring

Enjin EA888 juga terasa amat santai pada halaju tinggi, tiada gegaran enjin yang nyata dikesan dan cukup bertenaga pada semua RPM. Cuma penulis merasa sedikit turbolag “halus’ dalam sesetengah keadaan seperti berubah dari kelajuan santai ke kelajuan tinggi.

3. Brek – prestasi brek adalah cukup memuaskan penulis. Dalam semua keadaan, brek hanya perlu ditekan sekilas lalu sahaja untuk memperlahakan Golf R tanpa bersusah payah. Brek ini juga membolehkan penulis mencilok dan membrek dengan lebih mudah dengan bantuan enjin bertenaga

Selepas 2 sesi memandu agresif samaada di lebuhraya dan juga melalui jalan berbukit, tiada sebarang bunyi yang dihasilkan, atau sebarang bau hangit daripada sistem brek. Tiada isu brake fade dikesan semasa proses pandu uji dijalankan

4. Stering – Ratio stering yang digunakan adalah besar, dengan anda hanya memerlukan sekitar 1.3 pusingan untuk habis ke kanan atau kiri. Kawalan stering semasa mengambil selekoh adalah cemerlang. Pada masa sama, ketika memandu di jalan lurus, stering ini tidak menjadi terlalu sensitif.

Samaada anda sedang mengambil selekoh pendek menuruni bukit, mengambil selekoh panjang di lebuh raya atau memandu santai, penulis tiada isu dengan stering Golf R. Kecuali butang kawalannya yang terlalu sensitif

5. Gear – berbeza dengan gear DSG yang digunakan oleh Tiguan atau Golf GTi, respon gear pada Golf R adalah lebih cepat dan lebih “melekat” sebaik sahaja menurunkan gear dengan menggunakan paddleshifter

6. Kawalan cesi – sangat stabil pada halaju tinggi, dan apabila membrek bahagian depan kereta tidak terasa “mendap” ke bawah. Setiap kali anda menghidupkan enjin, Mode Sport akan digunakan secara automatik dengan tetapan penyerap hentak sport digunakan

Kalau hendak lembutkan penyerap hentak, boleh guna mode Comfort atau Individual. Namun penulis paling suka mode Nurburgring. Dalam mode ini, semua paramter ditetapkan secara agresif melainkan penyerap hentak dilembutkan bagi mendapat cengkaman yang bagus di jalan tidak rata

Mode ini amat berguna jika anda memandu laju di jalan kampung yang tidak rata berbanding dengan Race Mode yang mengggunakan penyeraphentak keras, yang akan menyebabkannya melantun dan hilang cengkaman sewaktu mengambil selekoh

Dalam mode ini, bunyi ekzos Akrapovic terasa begitu hidup terutama sewaktu menurunkan gear sebelum memasuki selekoh. Ada juga penulis tersilap mengambil cornering point, namun sistem LSD menolak bahagian belakang kereta dengan cermat masuk semula ke dalam selekoh, dibantu dengan sistem AWD yang cekap

Keadaan ini menyebabkan sesi pemanduan agresif terasa lebih santai berbanding dengan pesaing Golf R iaitu Honda Civic Type R FL5 yang menggunakan pacuan roda depan sahaja dengan gear manual. Keadaan ini menjadikan Golf R lebih senang menguasai jalan berselekoh berbanding dengan pesaing yang lain

Mungkin pada pandangan pemandu professional, Golf R akan menjadi terlalu mudah untuk dikuasai dan menjadi cepat bosan. Namun kemahiran memandu memerlukan masa untuk berlatih, dan Golf R ini membantu anda berlatih memandu dengan lebih mudah.

Kalau tidak, kenapa Gazoo Racing bangunkan transmisi automatik untuk jentera mereka. Golf R membantu penulis berkenaan titik membrek, mengambil garisan membelok di selekoh dengan lebih laju dan mengawal pedal minyak dengan baik

Pada harga RM 329, 102 Golf R mewakili sport car yang boleh dikatakan mampu milik berbanding dengan pesaingnya yang lain dengan harga setara Toyota GR Yaris. Ia lebih besar dan praktikal berbanding pesaingnya yang lain dan boleh digunakan setiap hari

Hantar anak ke sekolah, pergi membeli belah, dibawa untuk bekerja pun boleh kerana Golf R masih boleh menerima RON 95 tanpa masalah. Golf R turut dilengkapi dengan 7 beg udara, amaran titik buta, brek AEB, Lane Assist, Amaran Lintasan Trafik belakang dan juga Emergency Assist.

Murah, praktikal, boleh telan RON 95 dan ia jentera buas yang senang dikawal

Google ads
Back to top button