
RASMI: AVETA NOVA 160 DAN NOVA 125 DILANCARKAN DI MALAYSIA – DARI RM5,188
AVETA Malaysia dengan rasminya memperkenalkan dua skuter baharu untuk pasaran tempatan kali ini menerusi Nova 160 dan Nova 125.
Pasaran skuter urban dimeriahkan dengan kehadiran Nova 160 dan Nova 125 yang boleh didapati dengan harga jualan RM7,988 dan RM5,188.

Bagi Nova 160, skuter bergaya ini menawarkan reka bentuk yang menarik dan sporty terutamanya bentuk badan dan lampu hadapan yang mirip dengan skuter pesaing lain dalam segmennya.
Atas kertas, Nova 160 menawarkan 15.8hp pada 8,500rpm dan 14.7Nm pada 6,500rpm yang terhasil dari enjin satu silinder 154.4cc. Kuasa pula disalurkan kepada tayar belakang menerusi transmisi CVT.

Antara ciri menarik ditawarkan termasuk tangki bahan api 10L, cakera brek tunggal di hadapan dengan kaliper brek axial, penyerap hentak berkembar, sistem keyless, ilding stop start, panel meter digital LCD, pencahayaan LED penuh dan pengecas USB.
Bagaimanapun, skuter ini tidak dilengkapi dengan ABS (anti-lock braking system). Ini kerana meskipun motosikal 150cc ke atas wajib ABS bermula 2025, pendaftaran VTA skuter ini dibuat pada November tahun lalu lantas terkecuali dari syarat wajib baharu tersebut.

Bagi pasaran Malaysia, Nova 160 hadir dengan tiga warna; Raven Red, Aveta Blue dan Copper Blace.
Dalam pada itu, Nova 125 merupakan tawaran lebih mampu milik bagi pasaran negara ekoran menyasarkan pengguna baharu dan muda antarnaya pelajar universiti dan kolej.
Meskipun begitu, Nova 125 masih dilengkapi dengan ciri praktikal termasuk tangki bahan api berkapasiti 6L serta menawarkan pengecas USB Type-A dan Type-C.

Ruangan enjin pula memuatkan unit satu silinder 125cc dengan sistem penyejukan udara yang berupaya menjana 9hp dan 8.6Nm.