Buletin

BMW VISION DRIVING EXPERIENCE UNTUK HEART OF JOY, 18,000NM!

Selepas jeriji longjong, BMW mempunyai satu lagi hidangan untuk pengguna iaitu Neue Klasse atau kenderaan generasi baharu.

Sebelum diperkenalkan secara rasmi, pengguna dijamu dahulu dengan BMW Vision Driving Experience.

Walaupun tersorok di sebalik grafik samaran, VDX tampil garang dan menyerlah namun bukan untuk pengeluaran massa.

VDX berfungsi sebagai platform ujian bagi teknologi pengurusan pacuan dan dinamik pemanduan yang dipanggil Heart of Joy dan dibangunkan khas untuk Neue Klasse.

Prototaip ini telah diuji secara ekstrem di Pusat Pemanduan Berprestasi BMW di Spartanburg, Amerika Syarikat dan beberapa jurnalis antarabangsa diberi peluang untuk duduk di dalam kereta.

BMW sebelum ini telah berkongsi gambar sedan BMW M dalam samaran dan satu yang mengujakan untuk mengetahui episod seterusnya.

Berbalik kepada VDX, semua model Neue Klasse elektrik akan menerima manfaat dari Heart of Joy.

Model Neue Klasse elektrik pertama akan mula dikeluarkan pada tahun ini di Kilang Debrecen, Hungary.

Heart of Joy merupakan komputer kawalan dan dimensi keempat Neue Klasse iaitu Sheer Driving Pleasure dan melengkapkan tiga ciri utama sebelum ini iaitu elektrik, digital, dan kitar semula (circular).

Unit kawalan Heart of Joy untuk rangkaian pacuan, brek, pengecasan, pemulihan tenaga dan subfungsi stereng memproses maklumat sepuluh kali lebih pantas berbanding sistem sebelum ini.

Berfungsi bersama BMW Dynamic Performance Control, Heart of Joy mengira semua fungsi dinamik pemanduan dengan tahap kelajuan dan ketepatan yang lebih tinggi.

Perisian ini dibangunkan sepenuhnya secara dalaman berdasarkan pengalaman yang lama dimiliki BMW dalam dinamik pemanduan.

Satu yang menarik, VDX menghasilkan 18,000Nm! Alasannya adalah jika sistem kawalan mampu mengurus kuasa sebesar ini, pemanduan harian dapat dikendalikan dengan lebih mudah.

Pemulihan tenaga semasa membrek (recuperation) menggabungkan fungsi pacuan dan brek dan membentuk satu sistem yang lebih cekap untuk kenderaan elektrik.

Heart of Joy merupakan salah satu daripada empat unit kawalan utama dalam seni bina elektronik Neue Klasse dan buat pertama kalinya menggabungkan fungsi pacuan dan dinamik pemanduan dalam satu sistem tunggal.

Fungsi kawalan inovatif ini dilindungi oleh beberapa paten yang telah dimohon.

Unit berprestasi tinggi mengawal pecutan, brek, penstabilan kenderaan, stereng dinamik dan pengurusan pengecasan, memastikan pengalaman pemanduan yang lebih lancar dan responsif.

Unit pemprosesan pusat dan perisian BMW Dynamic Performance Control membolehkan semua aktuator bertindak balas secara terus dan dengan kelewatan minimum dan dalam julat milisaat.

Sebagai perbandingan sistem konvensional menggunakan algoritma kawalan berasingan untuk pacuan dan brek.

Kaedah itu menjadikan potensi penuh kawalan kenderaan dengan sistem pacuan elektrik berkuasa tinggi tidak dapat dimanfaatkan sepenuhnya.

Dari segi pemanduan dan pengendalian, pemandu dan penumpang menikmati pengalaman pemanduan yang harmoni dan senyap tidak kira situasi atau kelajuan.

Dalam pemanduan dinamik, gabungan Heart of Joy dan BMW Dynamic Performance Control menawarkan kestabilan dan keyakinan ketika mengambil selekoh, memberikan kawalan yang lebih lancar dan responsif.

Kereta ini menghasilkan cengkaman yang luar biasa dan membolehkannya melalui selekoh dengan ketepatan tinggi.

Satu lagi, kurang input kawalan diperlukan dan membolehkan kenderaan mengekalkan laluan dengan lebih stabil dan tepat.

Sistem ini membantu membentuk tingkah laku pemanduan yang konsisten dan boleh diulang menjadikan kawalan lebih intuitif dan lancar.

Pada kelajuan rendah, seperti dalam keadaan henti-mula atau parkir, penghantaran isyarat terus dan pemprosesan maklumat pantas memastikan pengalaman pemanduan yang lebih mengasyikkan.

Dalam mod pemanduan D, B atau semasa menggunakan Kawalan Jelajah Aktif, brek parkir atau kunci parkir, pemberhentian dan permulaan semula berfungsi dengan lancar antara satu sama lain.

Sistem kawalan bersepadu bagi rangkaian kuasa, brek dan pemulihan tenaga membolehkan penggunaan tenaga yang lebih lestari.

Menurut BMW lagi, 98 peratus pemandu tidak perlu menggunakan brek konvensional. Kuasa brek yang dihasilkan melalui pemulihan tenaga mencukupi untuk pemanduan harian biasa.

Brek biasa hanya diperlukan dalam keadaan yang memerlukan seperti kecemasan. Secara keseluruhan, sistem ini meningkatkan kecekapan sehingga 25 peratus.

Satu lagi yang menarik, VDX menunjukkan cara Heart of Joy berfungsi melalui kod warna bercahaya pada rim roda.

Pecutan ditunjukkan dalam warna hijau, pemulihan tenaga dalam warna biru dan brek geseran dalam warna jingga.

BMW bakal memperkenalkan empat komputer berprestasi tinggi baharu (super-brains) dalam kenderaan akan datang.

Komputer berprestasi tinggi ini menggabungkan pelbagai fungsi yang sebelum ini dikendalikan secara berasingan.

Seperti yang dinyatakan sebelum ini, Heart of Joy dibangunkan sepenuhnya oleh BMW dan menggabungkan empat unit kawalan utama dalam satu komputer berprestasi tinggi.

Tiga lagi komputer akan mengawal pemanduan automatik dan separa automatik, sistem maklumat hibur dan fungsi asas seperti kawalan suhu, akses kenderaan, pencahayaan dalaman dan luaran serta sistem keselesaan.

Menarik sebenarnya untuk mengetahui bagaimana karakter kenderaan Neue Klasse yang dicorakkan oleh sistem dan komputer. Tidak hairan mengapa dipanggil Neue Klasse dan BMW benar-benar berani.

Google ads
Back to top button