
VOLKSWAGEN TUKAN DEBUT, PIKAP DENGAN PLATFORM MQB PERTAMA UNTUK PASARAN AMERIKA SELATAN
Volkswagen memperkenalkan Tukan, sebuah trak pikap baharu yang dibangunkan khusus untuk pasaran Brazil dan Amerika Selatan.
Model ini mencipta sejarah tersendiri apabila menjadi trak pikap pertama jenama itu yang menggunakan platform MQB, seni bina – asas kepada beberapa model penumpang Volkswagen.
Tukan diperkenalkan dalam dua varian badan berbeza iaitu versi dwi-kabin dan kabin tunggal. Varian dwi-kabin dipertontonkan dalam spesifikasi tertinggi Extreme dengan warna kuning Canary Yellow, manakala model kabin tunggal hadir dalam varian Robust yang lebih memfokuskan kepada kegunaan komersial dan operasi kerja harian.
Menurut Volkswagen, Tukan direka, dibangunkan dan akan dipasang sepenuhnya di Brazil. Pengeluarannya akan berlangsung di kilang Sao Jose dos Pinhais di negeri Parana, dengan pelancarannya dijadualkan pada separuh pertama tahun 2027.

Menariknya, kira-kira 76 peratus komponen yang digunakan diperoleh daripada pembekal tempatan.
Bagi memenuhi keperluan pengguna yang berbeza, Volkswagen membangunkan dua konfigurasi badan yang menawarkan fungsi tersendiri.
Menurutnya, versi dwi-kabin disasarkan kepada pelanggan yang mahukan gabungan gaya hidup dan kepraktisan, sementara model kabin tunggal menumpukan kepada kapasiti muatan lebih besar menerusi ruang kargo yang lebih panjang.
Ruang belakang Tukan turut direka untuk menyokong pelbagai jenis kegunaan termasuk pengangkutan barangan komersial.
Ia dilengkapi kotak simpanan terbina dalam serta ruang kargo yang mampu memuatkan palet dalam pelbagai saiz. Pelbagai aksesori tambahan juga akan ditawarkan bagi meningkatkan fleksibiliti penggunaannya.
Dari segi rekaan, Tukan menampilkan identiti tersendiri walaupun berkongsi asas teknikal dengan Volkswagen T-Cross. Bahagian hadapan menampilkan wajah lebih tegak dengan lampu utama LED yang dipasang pada kedudukan tinggi serta kemasan hitam yang lebih menonjol pada bampar hadapan.

Profil sisi pula menyerlah menerusi lengkungan roda yang besar, garis badan yang lebih tinggi serta elemen perlindungan tambahan pada bahagian bawah kenderaan.
Di belakang, lampu LED, pintu tailgate dan bampar direka sebagai satu komposisi visual yang menyatu. Varian dwi-kabin turut menerima jalur hitam yang menghubungkan kedua-dua lampu belakang, manakala ciri tersebut tidak digunakan pada model kabin tunggal.
Walaupun menggunakan platform MQB, Volkswagen melakukan pelbagai pengubahsuaian bagi menyesuaikannya dengan keperluan sebuah trak pikap.
Antaranya termasuk penggunaan suspensi belakang jenis daun spring yang dibangunkan khas untuk meningkatkan kemampuan membawa beban dan ketahanan jangka panjang. Jarak roda juga dipanjangkan berbanding model asal yang menjadi asas kepada platform tersebut.
Volkswagen memaklumkan bahawa Tukan telah menjalani ujian melebihi dua juta kilometer termasuk penilaian dalam situasi penggunaan sebenar oleh pelanggan bagi memastikan tahap ketahanan dan kebolehpercayaan yang tinggi.
Buat masa ini, spesifikasi rasmi enjin dan transmisi masih belum diumumkan. Namun, Tukan dijangka menggunakan enjin petrol turbo empat silinder 1.5 liter TSI yang digabungkan dengan sistem hibrid ringan (mild-hybrid).
Maklumat lanjut mengenai prestasi, teknologi dan spesifikasi penuh model ini dijangka didedahkan dalam beberapa bulan akan datang.

