
MITSUBISHI PAJERO 2027 DILANCARKAN BULAN DEPAN – CASIS LADDER FRAME, BAKAL TAMPIL DENGAN TEKNOLOGI HIBRID?
Mitsubishi Motors mengesahkan kemunculan semula SUV ikonik Pajero menerusi pelancaran global generasi kelima yang dijadual berlangsung pada 2 September 2026.
Menariknya, model baharu itu akan kembali menggunakan casis ladder frame, sekali gus menandakan perubahan besar berbanding generasi terdahulu yang dibina berasaskan struktur monokok.
Keputusan tersebut dilihat sebagai usaha Mitsubishi untuk mengembalikan identiti Pajero sebagai SUV lasak yang mampu berdepan cabaran off-road dengan lebih serius.
Casis ladder frame yang digunakan dikatakan berkongsi asas dengan trak pikap Triton, sekali gus menawarkan tahap ketahanan dan keupayaan yang lebih tinggi.

Selain itu, Pajero baharu turut disahkan menerima sistem pacuan semua roda Super All-Wheel Control (S-AWC), teknologi yang sebelum ini digunakan pada Triton serta beberapa model prestasi Mitsubishi. Sistem ini mengawal agihan kuasa, brek dan kestabilan kenderaan bagi meningkatkan cengkaman di atas permukaan jalan berturap mahupun laluan mencabar.
Walaupun Mitsubishi masih belum mendedahkan spesifikasi penuh, laporan dari beberapa pasaran antarabangsa menyebut bahawa S-AWC berkemungkinan digandingkan dengan sistem Super Select 4WD-II. Jika benar, pemandu boleh memilih mod pacuan dua roda, pacuan semua roda sepenuh masa serta mod gear rendah untuk penggunaan off-road.
Setakat ini, Mitsubishi hanya menyiarkan beberapa imej acah yang memberi gambaran awal reka bentuk luaran SUV tersebut. Kebocoran maklumat turut menunjukkan kemungkinan dua rekaan muka hadapan berbeza ditawarkan mengikut pasaran tertentu.
Dari sudut mekanikal, pilihan trenkuasa masih menjadi tanda tanya terbesar. Mitsubishi memberi bayangan bahawa varian hibrid sedang dibangunkan, namun belum mendedahkan maklumat mengenai kapasiti bateri, jarak perjalanan atau kombinasi enjin yang bakal digunakan.

Memandangkan Pajero baharu berkongsi platform dengan Triton, pemerhati industri menjangkakan Mitsubishi mungkin memperkenalkan sistem hibrid berasaskan enjin diesel yang lebih sesuai untuk kegunaan jarak jauh dan aktiviti lasak berbanding sistem plug-in hybrid berorientasikan penggunaan bandar.
Dalam masa sama, khabar angin turut menyebut kemungkinan kemunculan varian berprestasi tinggi berjenama Ralliart yang memberi fokus kepada keupayaan off-road.
Jika direalisasikan, model tersebut dijangka menjadi pesaing terus kepada Toyota Land Cruiser Prado.
Buat masa ini, Mitsubishi hanya mengesahkan tarikh pelancaran global pada 2 September serta penggunaan casis ladder frame dan sistem S-AWC.
Semua maklumat lain termasuk spesifikasi penuh, pilihan enjin dan pasaran pertama yang bakal menerima model ini dijangka diumumkan ketika acara pelancaran rasmi nanti.

