
VOLKSWAGEN TUOAREG, BERBALOI DENGAN RM 470,000?
Perkataan Touareg sebenarnya merujuk kepada satu suku kaum orang asli yang tinggal di Gurun Sahara, bersempadan dengan Algeria, Niger dan Mali. Kami tidak pasti kenapa Volkswagen berkenan dengan perkataan ini.
Namun ketika dibangunkan untuk generasi pertama, model ini dibangunkan secara bersama dengan Audi dan juga bagi generasi ketiga bersama dengan Lamborghini Urus, Porsche Cayenne dan Bently Bentayaga dengan menggunakan platform MLB Evo D Platform
Dari segi kelas, Touareg berada dalam segmen Eksekutif disebabkan saiznya yang besar. Sebagai contoh, panjang Touareg mencecah 4878mm manakala lebarnya pula mencapai 1984mm. Disebabkan ini adalah crossover “flagship”, Volkswagen menabur semua kelengkapan terbaik pada Touareg.

Lampu utama depan menerima teknologi iQ Light HD Matrix LED lengkap dengan cornering lamp. Malah selain dipasang dengan lampu kabus depan, Touareg juga menerima LED Bar Light melintang pada bahagian jeriji atas depan.
Pada pengetahuan penulis, Touareg merupakan satu-satunya crossover yang turut diberikan ciri kamera Night Vision untuk membantu pemandu melihat dalam gelap. Ia merupakan teknologi yang berasaskan sensor haba
Touareg diberikan rim bersaiz 20 dibalut dengan tayar bersaiz 285/45. Sistem suspensi pula menggunakan sistem “air suspension” yang membolehkan ia direndahkan sebanyak 40mm untuk memudahkan proses meletakkan barang diruang kargo

Sistem suspensi ini juga boleh dinaikkan sebanyak 70mm, sekaligus membolehkan Toaureg meredah air banjir pada kedalaman 550mm. Untuk pertama kali dalam sejarah, logo Volkswagen di pintu belakang juga diberikan dengan ciri pencahayaan yang berwarna merah.
Lampu belakang juga menawarkan 3 pilihan animasi mengikut citarasa anda selain ruang kargo sebesar 810 liter. Jika anda melipat kusyen di bahagian belakang, ruang kargo tadi akan dibesarkan menjadi 1800 liter lengkap dengan tayar kecemasan “collapsible”, soket 12 volt dan 2 cangkuk untuk menggantung beg plastik
Rekaan dalaman Touareg juga nampak lebih futuristik berbanding dengan model Volkwagen yang lain dengan skrin multimedia Discover Pro Max bersaiz 15 inci mendominasi paparan pemuka. Sistem ini dipautkan dengan Apple Car Play dan Android Auto tanpa wayar serta 12 pembesar suara Dynaudio 730 watt.

Ruang dalaman Touareg juga diserikan lagi dengan ambient light dan background light, bago membolehkan pemilik menukar 2 set cahaya lampu dari 60 pilihan warna yang ada. Selain kusyen menawarkan ciri ubahsuai secara elektrik, ia juga dipasang dengan ciri pengudaraan serta perehat kepala boleh ditolak ke depan.
Touareg juga diberikan 3 poin pengecas jenis C, pengecas tanpa wayar, tombol gear dari rekaan Audi, 4 zon penyaman udara, dan 9 corong penyaman udara termasuk yang dipasang di tiang B. Pendek kata Touareg ini adalah crossover mewah dari Volkswagen dengan ruang belakang yang cukup mewah hasil dari platform dengan jarak antara roda ditetapkan pada 2984mm
Hanya satu pilihan enjin sahaja yang ditawarkan iaitu enjin 3000cc V6 EA839 lengkap dengan turbo yang menawarkan 335 kuasa kuda dan 450Nm tork. Enjin ini juga dipadankan dengan transmisi 8 kelajuan yang dihasilkan oleh Aisin.

Dari segi prestasi, Touareg boleh memecut dari 0-100km/jam dalam masa 6 sahaja sebelum halajunya dihadkan secara elektronik pada 250km/jam. Dengan halaju purata 120-130km/jam, penggunaan bahan api Touareg adalah sekitar 10.2km/liter satu angka yang OK bagi sebuah SUV besar dengan pacuan semua roda 4 Motion
Tetapi jika anda memandu secara santai dan berhemah, enjin V6 turbo dan transmisi 8 kelajuan automatik ini sebenarnya menawarkan pemanduan yang selesa, lembut dengan penghantaran kuasa dibuat secara linear.
Malah jika anda membenam pedal minyak ke lantai, ia terasa santai namun masih boleh meninggalkan kereta lain dengan mudah. Mungkin inilah sebabnya transmisi 8 kelajuan Aisin dipilih berbanding dengan transmisi Direct Shift Gear.

Terdapat 7 mode pemanduan yang ditawarkan samaada Eco, Normal, Comfort, Sport, Snow, Individual, dan 3 modeOffroad (sand, gravel, expert). Satu perkara yang penulis rasa ialah talaan suspensi yang dibuat dengan lembut, malah jika anda menggunakan Sport Mode ia tetap lembut menjadikan ia mengalami olengan cesi apabila mengambil selekoh tajam dengan laju.
Rasanya Touareg ditala untuk mementingkan keselesaan, malah penulis rasakan tetapan sistem penyerap hentak pada Tiguan adalah lebih keras. Dalam mode Sport juga, stering menjadi semakin berat dan respon cesi pada input stering adalah lebih pantas.
Ada baiknya juga tetapan suspensi dibuat dengan lembut kerana penulis boleh melalui semua bonggol atau “speed bump” tanpa menjejaskan keselesaan atau membuatkan cesi melantun biarpun pada halaju 50km/jam. Keselesaan ini diperkuatkan lagi dengan kadar bunyi bising pada 59dB sahaja pada halaju 110km/jam

Untuk sistem brake, Touareg dipasang dengan cakera brek berliang dengan saiz 19 inci di bahagian depan dan 18 inci di bahagian belakang. Ia menawarkan prestasi brek yang pantas tapi pada masa yang sama kuasa brek yang dihasilkan adalah lembut dan sekata, bukanya mengejut.
Dalam aspek keselamatan pula Touareg diberikan ciri Adaptive Cruise Control, Driver Attention Alert, Sensor Kabin bagi mengesan pencerobohan, sensor anti towing, brek kecemasan automatik, amaran lintasan trafik belakang, amaran titik buta, Parking Assist dan juga sensor anti tunda.
Seperti biasa kami senaraikan beberapa perkara yang kami tidak suka berkenaan dengan Touareg ini. Antaranya ialah rekaan di bahagian depan nampak tidak gah seperti model Arteon. Anda juga boleh melihat sistem pendawaian yang terdedah di bahagian jeriji bawah, satu perkara yang tidak disukai oleh penulis selepas membayar RM 470,000 untuk Tuoareg.

Laci yang berada di papan pemuka pula menawarkan ruang yang terhad. Sistem operasi kamera 360 darjah pula tiada butang khusus untuk digunakan, dan anda perlu masuk ke gear mengundur dulu untuk mengaktifkan ciri ini.
Dengan harga tersebut, anda akan mendapat 5 tahun servis percuma sehingga 100,000km, 5 tahun jaminan, dan 5 tahun bantuan kecemasan 24 jam sekiranya diperlukan. Namun seperti biasa harga yang dipinta itu walaupun munasabah dengan pakej yang ditawarkan, pada hemat penulis terasa agak mahal sedikit.
Jika anda memandang pada logo dan prestij, harga RM 470,000 ini menawarkan banyak pilihan menarik seperti Range Rover Evoque, BMW X5 MSport, BMW iX40/50, Mercedes Benz EQE 500, Lexus RX500 F, Audi Q8 eTron dan Jaguar iPace. Cuma mungkin menang dari segi jenama tapi kalah dari segi penawaran ciri tambahan.


