
WRC 2025 – SEBASTIEN OGIER CEMERLANG DI TEMPAT SENDIRI RALLYE MONTE-CARLO
Pemandu rali lagenda, Sebastien Ogier berjaya merangkul kejayaan untuk perlumbaan pembuka tirai kejohanan FIA World Rally Championship (WRC) 2025 sekali gus berjaya muncul juara buat kali ke 10 di Rallye Monte-Carlo.
Kejayaan Sebastien Ogier yang memandu jentera Toyota GR Yaris Rally1 di kawasan yang cukup dikenalinya di pergunungan Alps Perancis cukup signifikan apatah lagi berjaya menewaskan rakan sepasukan Toyota Gazoo Racing, Elfyn Evans dengan kelebihan 18.5 saat di hari akhir perlumbaan.

Perlumbaan terakhir hari Ahad dilihat cukup menguji pemandu dengan kondisi permukaan jalan yang mampu mengubah keadaan dan keputusan. Sebastien Ogier dan rakan sepasukannya di Toyota Gazoo Racing Elfyn Evans memilih untuk membawa empat tayar Hankook bertatah dan hanya dua slick yang sangat lembut – pendekatan yang terbukti berkesan di jalan berais Avançon – Notre-Dame du Laus.

Akan tetapi keputusan tersebut tetapi menyebabkan mereka terdedah pada peringkat kedua terakhir yang lebih kering di Digne-les-Bains / Chaudon-Norante. Di sana, Adrien Fourmaux yang memandu jentera Hyundai i20 N Rally1 bersama pilihan tayar full slick cemerlang hingga berjaya, mengatasi kedua-dua pemandu Toyota dengan kelebihan 23.9 saat dan 17.8 saat untuk cuba mencabar podium teratas.
Adrien Fourmaux, membuat penampilan pertama pasukan Hyundai Motorsport selepas berpindah daripada M-Sport Ford, mengharapkan keadaan yang lebih kering untuk peringkat terakhir di Wolf Power Stage untuk memaksimumkan kelebihan tayarnya namun tersilap jangkaan apabila peringkat perlumbaan Col de Turini yang berais membuatkan beliau sedikit kehilangan masa.

Ternyata ini membolehkan Sebastien Ogier memanfaatkan situasi tersebut untuk mengutip tambahan mata bonus, manakala Elfyn Evans mengekori di belakang pemandu lagenda tersebut sekali gus meninggalkan Adrien Fourmaux di podium ketiga.
Malah, Sebastien Ogier juga berjaya mengutip mata bonus tambahan untuk Super Sunday sekali gus mengutip keseluruhan 33 mata untuk perlumbaan pembuka tirai ini.
Kalle Rovanpera pula akur untuk berada di tempat keempat keseluruhan meninggalkan Ott Tanak yang terpaksa berpuas hati di tempat kelima setelah masih lagi bangkit daripada kemalangan yang menimpa di peringkat awal.

Nasib serupa juga menimpa juara WRC 2024, Thierry Neuville yang akur untuk berada di tempat keenam keseluruhan setelah juga mengalami naisb yang serupa.
Sementara itu, drama dan rali sememangnya tidak dapat dipisahkan. Ada beberapa pelumba yang mengalami nasib malang apabila terbabit dengan kemalangan membabitkan Sami Pajari, Takamoto Katsuta dan juga Grégoire Munster yang tidak dapat meneruskan aksi.
Tumpuan akan beralih ke Rally Sweden pada Februari untuk permukaan bersalji sepenuhnya bagi menguji kehandalan pelumba.
Foto : WRC
BACA : WRC 2025 PEMBUKA TIRAI DI RALLYE MONTE-CARLO. APA LAGI YANG BAHARU UNTUK MUSIM INI?



