
WRC 2025 PEMBUKA TIRAI DI RALLYE MONTE-CARLO. APA LAGI YANG BAHARU UNTUK MUSIM INI?
Setelah berehat seketika, akhinya musim perlumbaan FIA World Rally Championship (WRC) 2025 akan membuka tirai di Rallye Monte-Carlo hujung minggu ini. Musim baharu, sudah tentu akan ada beberapa perubahan baharu. Jom kita baca apa yang baharu tentang WRC 2025 ini.
Perkara paling penting sudah tentulah perubahan dari segi teknikal membabitkan jentera Rally1. Untuk musim ini tiada lagi sistem hibrid akan digunakan. Kesemua jentera Rally1 yang beraksi musim ini akan menggunakan enjin 1.6 liter turbo sepenuhnya sahaja di samping penggunaan bahan bakar fosil 100% yang akan disediakan oleh rakan strategik P1 Fuels.
Satu lagi perubahan yang mungkin agak ketara adalah kehadiran Hankook Tire & Technology yang akan bertindak menyediakan kesemua tayar untuk jentera rali yang beraksi termasuklah untuk kelas WRC, WRC2, WRC3, dan juga Junior WRC.

Tayar jenama Hankook ini telah pun direka untuk memberikan prestasi maksimum untuk semua permukaan dan keadaan cuaca pada musim ini bagi menggantikan jenama Pirelli.
Hankook akan membekalkan kesemua pasukan dengan tayar model flagship mereka Ventus Z215 untuk aspal kering dan lembap, Ventus Z210 untuk keadaan aspal basah, dan juga Dynapro R213 untuk semua perlumbaan dengan permukaan kerikil.
Tayar Hankook istimewa Winter i*cept SR20 dan Winter i*Pike SR10W pula akan digunakan untuk perlumbaan di Rallye Monte-Carlo dan Rally Sweden dengan permukaan bersalji bagi menjamin cengkaman yang dipermukaan untuk kedua perlumbaan ini.
Untuk rekod, Hankook juga sebenarnya turut terlibat dengan perlumbaan FIA Formula E World Championship menjadikannya sebagai jenama unggul yang terlibat dalam dua perlumbaan utama dunia anjuran FIA.

Perubahan berikutnya juga membabitkan sistem pungutan mata yang akan kembali seperti biasa mengikut urutan 25-17-15-12-10-8-6-4-2-1 untuk 10 tempat teratas berbanding sistem pungutan mata musim 2024 kelihatan tersangatlah kartun dan mengelirukan. Pun begitu, sistem mata bonus tambahan untuk Wolf Power Stage yang menawarkan mata 5-4-3-2-1 masih lagi dikekalkan bagi membolehkan mana – mana pemandu untuk membuat pecutan bagi mencari lebihan mata. Juga terdapat tambahan 5-4-3-2-1 bagi Super Sunday.
Musim ini juga akan membabitkan 14 lokasi perlumbaan menjadikannya sebagai musim perlumbaan yang panjang. Terdapat lokasi perlumbaan baharu seperti Saudi Arabia yang akan menjadi lokasi penutup musim 2025 ini. Rally Islas Canarias yang sebelum ini merupakan perlumbaan untuk ERC juga akan memasuki kalendar WRC musim ini dengan Paraguay juga menjadi lokasi baharu di negara Amerika Selatan. Dan kembalinya semula Rally Estonia ke dalam kalendar WRC pasti akan menggembirakan penyokong Ott Tanak untuk beraksi di bumi sendiri.
Kredit Foto : WRC
BACA : APA NASIB MARTIN SESKS UNTUK KEMPEN WRC 2025? NAK BERLUMBA DAH NI OI!