Buletin

PORSCHE CARRERA T CABRIOLET DAN COUPÉ 2025, 394PS/450NM, MANUAL SAHAJA

Tidak semua pelanggan mahukan kereta sport yang lengkap serba-serbi. Ada yang mahukan kereta ringkas dan bersahaja dan rindukan kotak gear manual.

Jawapannya pada Porsche 911 Carrera T baharu dengan kotak gear manual enam kelajuan. Lebih menarik, Porsche menghadiahkan model cabriolet dan pertama untuk Carrera T.

T bermaksud Touring dan model ini mula menjejakkan tayar secara rasmi pada 1968. 911 Carrera T generasi pertama dikeluarkan sehingga 1973.

Lama berehat 911 Carrera T kembali pada 2017 (model 2018) dan diletakkan di antara Carrera dan Carrera S.

Ringkas bermakna Carrera T menggunakan cermin ringan, penebat bunyi dikurangkan, kotak gear manual dan bersama kerusi bucket penuh hanya seberat 1,478 kilogram (kg).

Timbangan ini 40 kg lebih ringan daripada 911 Carrera 911 di pasaran. Enjin sama iaitu 3.0 liter turbo berkembar enam silinder yang menghasilkan 394 ps dan 450Nm.

Kotak gear manual menghantar kuasa kepada roda belakang. Fungsi blip automatik boleh dihidupkan (penurunan gear) dan menebus perbezaan di antara enjin dan kotak gear.

Model sebelum ini mempunyai pilihan kotak gear lapan kelajuan PDK.

Dari segi pecutan 0 sehingga 100 kilometer sejam (km/j), model yang didatangkan dengan Sport Chrono Package ini hanya memerlukan 4.5 saat dan tambahan 0.2 saat untuk cabriolet.

Model coupé boleh dipecut sehingga 295 km/j dan 293 km/j untuk si buka bumbung.

Selari dengan pertambahan kuasa berbanding model 2023, model terbaru dilengkapi sistem brek lebih besar dengan cakera 350 milimeter (mm) dan enam omboh di depan.

Satu lagi ciri baharu ialah pembelokan roda belakang sebagai ciri asas dan digabung bersama nisbah pembelokan yang lebih langsung di depan dan mengoptimumkan pengendalian.

Penalaan pembelokan belakang dibangunkan khusus untuk 911 Carrera T.

Sistem ampaian boleh suai sport PASM direndahkan sebanyak 10 mm dan juga diberi penalaan khusus untuk menjadikan Carrera T lebih baik dan lincah untuk dipandu.

Pembelokan belakang dan imbangan aerodinamik yang dioptimumkan khusus untuk model ini membolehkan bar anti oleng depan dan belakang ditala untuk pengendalian yang neutral.

Getah saiz 245/35 dengan rim aloi Carrera S 20 inci dipasang di depan dan saiz 305/30 ZR21 di belakang.

Dari segi aerodinamik dan penampilan, bibir spoiler dari 911 Carrera GTS digunakan dan satu yang menarik ialah pelekat gear manual ditampal pada cermin sukuan.

Pada bahagian dalam, identiti manual diserlahkan dengan tombol gear kayu lapisan walnut di tengah lautan gelap. Corak gear manual turut terpampang pada papan pemuka. 

Corak fabrik tartan dibuat khusus untuk 911 Carrera T dan selain kerusi sport asas larasan elektrik, pelanggan boleh memesan Adaptive Sports Seats Plus dengan 18 larasan atau kerusi bucket penuh.

Tidak hanya menjual keringkasan, pelanggan yang mahukan kemeriahan ditawarkan pakej rekaan (Design Packages) pada perkakasan dalam dan luar dengan warna klasik Gentian Blue.

Porsche 911 Carrera T Cabriolet

 

Porsche 911 Carrera T 

Google ads
Back to top button