
XPENG PERKENAL P7 DI CHINA – DAKWA JAUH LEBIH BAIK BERBANDING MODEL 3
Minggu lalu, Tesla China mengumumkan bahawa ia sudah mula menerima tempahan untuk Tesla Model 3 yang dihasilkan di China.
Dengan nama dan reputasi yang dimiliki oleh Tesla, pengumuman itu jelas membuatkan ramai pengeluar kenderaan elektrik (EV) China rasa gelisah, terutama syarikat-syarikat baharu (startup).

Mereka bimbang Tesla akan menyebabkan mereka tutup kedai lebih awal.
Justeru, beberapa syarikat baru seperti XPeng Motors mula menjual model crossover mereka iaitu XPeng G3. Tahun depan, sedan XPeng P7 akan dilancarkan yang menjadi pesaing terus Tesla Model 3.
Dalam satu hantaran di laman sosial Weibo, XPeng menyatakan Tesla Model 3 yang berharga 328,000 yuan (RM197,200) adalah terlalu mahal.

Lagi pun, Tesla memerlukan masa sekitar enam hingga 10 bulan untuk menghantar Model 3 kepada pelanggannya.
Mereka mendakwa P7 mampu memecut dari 0-100km/j dalam masa 4 saat, sedangkan Model 3 mencatat masa 5.6 saat. Jarak perbatuan P7 didakwa lebih jauh iaitu 620km (Model 3 – 460km). Ia juga memberitahu model P7 memiliki tapak roda lebih panjang daripada Model 3.
Bukan itu sahaja, Xpeng mendakwa sistem autopilot mereka lebih sesuai untuk jalan raya di China berbanding Autopilot Tesla.

Sama ada semua dakwaan Xpeng ini betul atau sebaliknya, maklumat tepat sukar diakses kerana P7 masih belum berada di pasaran. Produksi dijangka bermula akhir tahun ini dengan penghantaran bakal dibuat pada suku pertama 2020.
Pada ketika itu, mungkin sudah banyak Tesla Model 3 terjual.