" "
Buletin

TESLA V3 SUPERCHARGER – CAJ 5 MINIT, BOLEH JALAN 120KM!

Tesla baru-baru ini memperkenalkan stesen pengecasan generasi ketiga yang direka untuk mengecas kereta dalam masa yang paling singkat. 

Dikenali sebagai V3, ia mampu menawarkan kuasa sehingga 250kW bagi setiap kereta. Pada kadar tersebut, sebuah Tesla Model 3 boleh dicaj untuk jarak sejauh 120km dalam masa lima minit sahaja. Sementara caj penuh hanya memerlukan masa selama 20 minit.

V3 dibina dengan matlamat untuk mengurangkan masa mengecas sehingga 50 peratus berbanding stesen pengecasan sebelum ini.

Bukan itu sahaja, Tesla turut memperkenalkan satu ciri baharu dikenali sebagai “On-Route Battery Warmup”. Ciri itu berfungsi memanaskan bateri kepada suhu optimum secara pintar sebelum dicaj, sekali gus dapat menjimatkan masa pengguna. 

Bagaimanapun, hanya bateri generasi terkini yang dipasang pada Model 3 dan Model Y boleh memanfaatkan pengecasan ultra pantas ini.

Model S dan Model X pula akan diberi naik taraf perisian untuk meningkatkan kelajuan pengecasan. 

Tesla kini mempunyai 12,000 stesen pengecasan di Amerika Utara, Eropah dan Asia. Buat masa sekarang, lebih 99 peratus populasi AS diliputi oleh rangkaian Tesla dengan rangkaian sama bakal dibina untuk pasaran Eropah menjelang akhir tahun ini.

Google ads
Back to top button