
YOUTUBER BUKA PUSAT SERVIS TESLA SENDIRI – BANTU PELANGGAN YANG BOSAN MENUNGGU LAMA
Seorang youtuber yang pakar dalam membaiki dan menjelaskan kenderaan Tesla dilapor membuka sebuah pusat servis Tesla sendiri.
Rich Benoit yang juga seorang mekanik kerap menayangkan rantaian video dia membaiki dan membina semula kenderaan Tesla.

Saluran YouTube Rich Rebuilds semakin popular selepas Benoit membeli sebuah Tesa Model S yang ditenggelami banjir, membaikinya dan dijadikan kenderaan harian.
Kini dia menawarkan kepakarannya kepada pelanggan yang penat menunggu Tesla mereka untuk dibaiki di pusat servis sah jenama kenderaan elektrik itu.
Tesla sebenarnya tidak mengendalikan mana-mana pusat pengedaran, sekali gus membuatkan urusan membaiki atau menyelenggara sangat sukar.

Kebanyakan pusat servis Tesla sudah terbiar berbulan-bulan lamanya, terutama selepas kehadiran Model 3 yang lebih murah.
Selepas video bengkelnya tular, Benoit menerima banyak pertanyaan dan permintaan daripada pemilik Tesla dan kereta elektrik lain untuk membaiki kereta mereka.
Keadaan itu memaksa Benoit bekerjasama dengan rakannya, Chris Salvo untuk membuka sebuah bengkel kereta elektrik dikenali sebagai Electrified Garage.

Benoit mempunyai ilmu dan kepakaran untuk membaiki Tesla. Sementara Salvo pula memiliki rangkaian kenalan untuk mendapatkan alat ganti baharu. Untuk makluman, Tesla tidak menjual alat gantinya kepada sesiapa di luar syarikatnya.
Buat masa sekarang, mereka berdua mengendalikan dua buah garaj dan sudah merancang untuk membina ruang kerja yang lebih besar. Malah, senarai menunggu pelanggan mereka pun sudah penuh sehingga setahun.
Benoit dan Salvo berharap dapat membangunkan rangkaian francais untuk memberi perkhidmatan lebih baik kepada pelanggan Tesla.