PENGGODAM MENANG TESLA MODEL 3 DAN WANG TUNAI RM142K
Sejak empat tahun lalu, Tesla kerap menganjurkan program penggodaman yang akan memberi ganjaran kepada penggodam yang berjaya mencari kelemahan sistem perisian kenderaannya.
Tahun ini, Tesla mengambil bahagian pula dalam acara penggodaman Pwn20wn yang dianjurkan oleh Trend Micro, Zero Day Initiative (ZDI) dan berlangsung di Vancouver, Kanada.
Hadiah yang ditawarkan kali ini cukup lumayan iaitu sebuah Tesla Model 3 dan wang tunai berjumlah AS$35,000 (RM142,700). Biarpun begitu, para pengodam terpaksa berusaha hingga ke hari terakhir untuk memecahkan kawalan sistem Model 3.
Antara tugasan yang diberi adalah untuk menggodam satu atau lebih sistem kereta. Ini termasuklah melancarkan serangan perkhimatan ke atas ciri Autopilot, mengawal kunci atau menjadikan telefon pintar sebagai kunci.
Akhirnya, Amat Cama dan Richard Zhu daripada pasukan Fluoroacetate memenangi pertandingan tersebut. Untuk tampil sebagai pemenang, mereka melancarkan serangan dari dalam kereta dan berjaya ‘mencapai kod pelaksanaan dengan cara mentatal kandungan berbahaya’.
Zhu dan Cama berjaya menggodam pelayar internet kenderaan dan menulis mesej ‘pwned by Fluoroacetate’
selepas menggunakan bug JIT dalam renderer untuk mengawal sistem perisian Model 3.
“Kami membangunkan kenderaan dengan standard keselamatan paling tinggi dalam semua aspek. Tesla juga bekerjasama dengan komuniti penyelidikan keselamatan terkemuka dunia,” kata Naib Presiden Perisian Kenderaan Tesla, David Lau.
Menurut jurucakap Tesla, kelemahan sistem itu akan ditangani tidak lama lagi menerusi proses naik taraf perisian.