
ZEEKR PERKENAL SISTEM BANTUAN PEMANDUAN PINTAR G-PILOT, CABAR TEKNOLOGI HUAWEI DAN BYD
Zeekr Technology Group telah melancarkan penyelesaian pemanduan pintar Zeekr G-Pilot, sistem bantuan pemanduan yang menawarkan pelbagai tahap keupayaan, serupa dengan sistem God’s Eye (DiPilot) dari BYD.
G-Pilot juga merupakan sebahagian daripada teknologi G-Pilot yang diperkenalkan oleh syarikat induk Zeekr, iaitu Geely.
Zeekr G-Pilot akan tersedia dalam beberapa peringkat, namun jumlah tepatnya masih belum didedahkan. Sistem G-Pilot daripada Geely sendiri menawarkan lima varian pemanduan pintar iaitu H1, H3, H5, H7, dan H9.
Setiap satu berbeza berdasarkan perkakasan serta kadar penggunaan kecerdasan buatan (AI). Ketika pelancaran Zeekr G-Pilot, tumpuan diberikan kepada varian tertinggi, G-Pilot H9.

KEUPAYAAN LUAR BIASA G-PILOT H9
Zeekr G-Pilot H9 dikuasakan oleh dua cip Nvidia Drive AGX Thor dengan jumlah keupayaan pengkomputeran mencecah 1,400 TOPS (Trillion Operations Per Second).
Sebagai perbandingan, sistem God’s Eye A (DiPilot 600) dari BYD hanya menawarkan 600 TOPS. Selain itu, G-Pilot H9 turut dilengkapi dengan 13 kamera, tiga radar gelombang mm, serta beberapa penderia LiDAR.
Berdasarkan perkakasan ini, Zeekr G-Pilot dikatakan sebagai sistem pertama dalam industri yang menyokong teknologi seperti Sistem Pengelakan Automatik Umum (G-AES) dan Pemanduan Kenderaan-ke-Parkir (V2P) berkapasiti penuh.
Ia juga mampu beroperasi tanpa peta bagi fungsi Navigate On Autopilot (NOA) serta dilengkapi dengan AI yang boleh mencari tempat letak kereta secara automatik.
Untuk rekod, G-Pilot H9 diklasifikasikan sebagai model bersedia untuk tahap autonomi L3.

ZEEKR 9X: MODEL PERTAMA DENGAN G-PILOT H9
Model pertama yang akan menerima sistem Zeekr G-Pilot H9 ialah SUV mewah bersaiz penuh, Zeekr 9X.
Ia dibina berasaskan seni bina terkini ZEEA 3.0. Zeekr 9X akan diperkenalkan secara rasmi di Shanghai Auto Show pada penghujung April 2025, manakala pelancaran jualannya dijangka berlangsung pada suku ketiga tahun yang sama.
Varian mewahnya, iaitu 9X Grand, bakal ditawarkan pada harga melebihi 1 juta yuan (sekitar RM660,000).
Selain G-Pilot H9, Zeekr turut menawarkan varian G-Pilot H7 yang dilengkapi satu penderia LiDAR, 11 kamera, tiga radar gelombang mm, serta dua cip Nvidia Orin X yang mampu mencapai 508 TOPS.
Model pertama yang akan menerima sistem ini ialah Zeekr 001, sebuah model liftback premium yang turut menyokong teknologi G-AES.