Buletin

FOXCONN BAKAL BINA EV UNTUK DUA PENGELUAR JEPUN YANG MASIH DIRAHSIAKAN

Gergasi elektronik dari Taiwan, Foxconn, dilaporkan bakal merekabentuk dan mengeluarkan kenderaan elektrik (EV) untuk dua pengeluar automotif dari Jepun yang masih belum didedahkan.

Walaupun syarikat itu sebelum ini menyatakan minat untuk bekerjasama dengan Nissan, Pengerusi Foxconn, Young Liu, tidak menyebut secara khusus syarikat mana yang terlibat dalam perjanjian ini.

Menurut laporan Focus Taiwan, Liu berkata minggu lalu bahawa Foxconn merancang untuk memeterai perjanjian dalam tempoh dua bulan akan datang bagi menyediakan perkhidmatan reka bentuk dan pengilangan EV kepada syarikat Jepun tersebut.

Pada Februari lalu, ketika cadangan penggabungan antara Honda dan Nissan gagal, Liu mendedahkan bahawa Foxconn berminat untuk bekerjasama dengan Nissan sebagai penyedia perkhidmatan, bukan sebagai pemilik.

Kini, dengan pelantikan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) baharu di Nissan, cadangan penggabungan dengan Honda mungkin kembali dipertimbangkan.

Dalam masa sama, Nissan yang sedang bergelut dengan cabaran kewangan boleh menjadi lebih terbuka terhadap perjanjian tambahan bagi mengukuhkan kedudukan mereka dalam pasaran EV, dan Foxconn dilihat sebagai rakan kongsi yang berpotensi.

Foxconn, atau nama rasminya Hon Hai Precision Industry Co, sedang giat mengembangkan operasi EV mereka yang diketuai oleh bekas eksekutif Nissan, Jun Seki.

Pengerusi Foxconn juga menyatakan bahawa syarikat itu merancang untuk memulakan pengeluaran Model C EV di Amerika Utara menjelang penghujung tahun ini, selepas pengumuman awal mengenainya dibuat pada tahun 2021.

Minat Foxconn dalam industri EV memberikan tekanan kepada pengeluar automotif tradisional seperti Nissan, yang ketika ini menghadapi persaingan sengit daripada syarikat-syarikat China yang semakin agresif dalam pasaran EV.

Nissan telah mengambil pelbagai langkah drastik dalam tempoh setahun terakhir untuk mengurangkan kos, namun cabaran kekal tinggi dalam usaha mereka untuk bersaing di peringkat global.

Dengan perancangan Foxconn untuk menjadi pemain utama dalam industri EV, perjanjian ini berpotensi mengubah landskap industri automotif Jepun dan global.

Pengumuman rasmi mengenai kerjasama ini dijangka dibuat dalam beberapa bulan akan datang.

Google ads
Back to top button