Artikel Pilihan

10 LANGKAH MUDAH JUAL BELI KERETA DAN URUSKAN PINJAMAN SENDIRI

Nak jual kereta bukan perkara yang senang macam jual karipap, tapi tidaklah susah sangat. Sekarang ini banyak platform yang menyediakan perkhidmatan proses menjual kereta dengan cara yang pantas dan sah di sisi undang-undang

Sebelum wujudnya platform ini, satu cara yang berkesan untuk menjual semula kereta anda jika anda mahu menjual sendiri kereta anda ialah dengan menjualnya secara tunai. Namun berdasarkan pengalaman peribadi, pembeli keberatan untuk membeli secara tunai jika harga jualan melebihi RM 20,000.

Maka cara lain bagi meneruskan transaksi jualan ialah dengan menggunakan pinjaman bank dari institusi perbankan. Namun tak semua bank menerima permintaan daripada individu yang ingin membeli atau menjual kereta mereka secara terus, tanpa melalui syarikat jualan kereta terpakai.

Jika anda menggunakan khidmat syarikat kereta terpakai untuk membantu transaksi, kemungkinan akan ada caj perkhidmatan. Bagi pembaca yang ingin membeli atau menjual kereta anda dengan melibatkan pinjaman, kami kongsikan Langkah-langkah yang perlu dibuat bagi meneruskan transaksi sendiri.

1. Pastikan kenderaan yang anda ingin beli atau jual bebas dari hutang. Ini bermakna pemilik asal perlu membuat penyelesaian pinjaman dahulu berdasarkan baki semasa. Jangan risau kerana bank akan bagi sedikit diskaun dalam proses ini

Dari segi hukum muammalat pula, kenderaan tersebut sudah sah menjadi hakmilik anda sepenuhnya selepas selesai pembayaran. Tiada lagi isu pemilikan tidak sempurna kenderaan yang ingin dijual adalah hakmilik kita 100%

2. Cari bank yang memberikan pinjaman kenderaan atau disebut Hire-Purchase dan menawarkan pinjaman kepada individu. Antara bank yang menawarkan pinjaman ini ialah bank Orang Ramai.

Cuba buat panggilan telefon ke mana-mana cawangan bank terdekat dengan anda dan tanyakan samaada cawangan tersebut menawarkan produk pinjaman kereta atau tidak. Jika tiada, semak dengan cawangan bank lain

3. Jika bank tersebut menawarkan pinjaman kenderaan, semak dengan pegawai bank apakah senarai dokumen yang diperlukan. Biasanya pihak bank memerlukan Salinan kad pengenalan, lessen memandu, penyata gaji 3 bulan berturut-turut, penyata bank gaji dimasukkan dan lain-lain dokumen sokongan.

Anda boleh meminta pembeli hantar terus dokumen ke pihak bank bagi memudahkan urusan. Ambil perhatian, bank tidak akan melayan pembeli yang berada di luar Kawasan.

Sebagai contoh, anda berada di Perlis dan pembeli berada di Johor. Maka pihak bank akan meminta pembeli berada di Johor untuk ke cawangan mereka yang berdekatan dengan pembeli

4. Pihak bank akan menghubungi pembeli bagi tujuan temuduga dan biasanya keputusan pinjaman akan dapat diketahui dalam masa 3 hingga 7 hari. Sama seperti pinjaman kenderaan lain, pihak bank akan meluluskan pinjaman sehingga 90% dari nilai kenderaan. Jika harga kereta RM 30,000, maka bank akan meluluskan RM 27,000 kepada pembeli.

Baki RM 3,000 tadi akan dibayar oleh pembeli kepada penjual melalui bank. Pembeli akan memasukkan RM 3,000 ke dalam satu akaun bank dan mencampurkan dengan RM 27,000 nilai pinjaman.

5. Tempoh pinjaman adalah bergantung pada usia kereta iaitu tidak boleh melebihi 15 tahun selepas ia dikeluarkan. Sebagai contoh, jika pemilik pertama sudah menggunakan kereta tersebut selama 7 tahun, maka pembeli baru boleh membuat tempoh bayaran pinjaman selama 7 tahun lagi

6. Semasa proses ini berlangsung, pemilik asal boleh membuat pemeriksaan Puspakom B5 kerana bank akan meminta bukti bahawa kenderaan ini selamat untuk dipandu. Pastikan kenderaan anda lulus pemeriksaan B5 bagi mengelakkan sebarang masalah

7. Setelah selesai, pihak bank akan meminta anda ke JPJ untuk melakukan proses tukar hakmilik sukarela. Anda hanya perlukan maklumat asas seperti nama pembeli, nombor kad pengenalan pembeli dan nombor pendaftaran kereta untuk proses tukar hakmilik

8. Selepas selesai, anda boleh menghantar dokumen Rujukan Tukar Hakmilik untuk makluman pembeli dan pihak bank. Pihak bank biasa akan menghantar wakil bersama-sama dengan pembeli baru untuk proses tukar nama kepada pembeli. Wakil bank tadi akan mengambil Salinan geran untuk diberikan pada bank

9. Pihak bank akan memanggil anda sebagai penjual untuk datang menandatangani satu dokumen Pengesahan Jualan di bank. Ketika ini anda akan diminta untuk mengesahkan nombor akaun bank. Duit RM 30,000 tadi akan dimasukkan ke akaun ini

10. Selepas selesai proses pindahan duit, pegawai bank akan menghantar satu Salinan dokumen pengesahan penghantaran duit kepada akaun yang dipilih oleh anda.

Walaupun nampak ringkas dan mudah, proses ini sebenarnya mengambil masa yang agak lama. Mungkin antara 2 minggu sehingga 8 minggu bergantung pada keupyaan bank untuk menguruskan pinjaman. Tambahan pula dengan PKP, mungkin proses ini mengambil masa yang lama

Kami menyarakan anda menggunakan proses jualan terus dan menguruskan pinjaman bank sendiri jika anda membuat pembelian dan penjualan kereta kepada kawan-kawan, saudara mara dan adik beradik di mana pembeli dan penjual faham berkenaan dengan tempoh masa yang diambil.

Google ads
Back to top button