Artikel Pilihan

TOYOTA VIOS NCP42. MASIH RELEVAN ATAU TIDAK ?

Untuk artikel kali ini, kita fokus pula sebuah jentera yang memang dibuat untuk kegunaan rakyat marhaen. Jentera yang dimaksudkan adalah Toyota Vios Generasi Pertama berkod NCP42 atau XP40.

Kita mulakan dengan sejarah jentera ini. Jentera ini merupakan sedan segmen B yang dibuat oleh pihak Toyota khusus untuk pasaran Asia Tenggara. Jentera ini juga menggunakan platform “P” dimana ia berkongsi platform bersama Toyota Vitz, Yaris, Echo & Platz.

Pada tahun 2003, secara rasminya Toyota Vios Generasi Pertama ini berada di pasaran Malaysia. Pihak Toyota membawa masuk 2 varian iaitu varian E dan G. Hanya dua varian sahaja. Kalau diikutkan, ada 4 varian sebenarnya untuk jentera ini iaitu J, E, G & S. ada juga lagi satu varian yang sangat “Limited” iaitu Vios Turbo yang hanya berada di pasaran Thailand. Hanya 600 unit sahaja wujud.

Sekarang kita pergi kepada spesifikasi jentera ini.

Kita bermula dengan dimensi. Disebabkan kelas jentera ini merupakan sedan segmen B, jadi ia tidaklah besar. Ia merupakan jentera sedan yang terkecil sekiranya dibandingkan dengan Toyota Corolla Altis(sedan segmen C) dan Toyota Camry(sedan segmen D).

Haa, sekarang dah nampak kan sistem pengkelasan dia ?

Panjang jentera ini adalah 4,285mm, lebarnya pula adalah bersamaan 1,695mm, tingginya pula adalah bersamaan 1,435mm dan mempunyai berat sekitar 950kg.

Untuk perbandingan, jentera ini lagi rendah dari Perodua Bezza, lagi ringan dari Perodua Myvi Generasi Ke-3, lagi pendek dari Proton Saga Generasi Ke-3.

Kecil bukan ? Comel-comel je gitu.

Walaupun comel, jangan pandang rendah dengan ruang kargonya kerana ia mempunyai kapasiti sebesar 400 Liter. Cukup besar untuk memuatkan banyak “Luggage” di dalamnya.

Kita pergi pula kepada sistem suspensi. Jentera ini menerima set suspensi jenis “McPherson Strut” pada bahagian hadapan dan “Torsion Beam” pada bahagian belakang. Satu sistem yang “basic” bagi sebuah jentera.

Kenapa tak pakai “Multilink” atau “Double-Wishbone” ? Boleh saja, cuma harganya nanti tidaklah marhaen Tuan-Tuan. Terus jadi kayangan nanti.

Pengendalian jentera ini senang cakap kira biasa saja. Agak melayang sekiranya dipandu laju ketika jalan lurus dan menjadi sampan ketika selekoh. Namun begitu, sekarang sudah pilihan jenama “Aftermarket” yang mengeluarkan “Upgraded Suspension Set” merangkumi “Absorber”, “Sport Spring”, “Strut Bar” dan juga set “Bushing”. Sah boleh “Upgrade” ye Tuan-Tuan dan ditala mengikut keselesaan anda sendiri.

Cuma kalau taknak pening, pakai je “Stock”.

Dari mata turun ke hati, dari suspensi turun ke brek. Jentera ini menerima set “Disc Brake” pada bahagian hadapan dan “Drum” pada bahagian belakang. Cukup untuk menghentikan jentera seberat 950kg ini. Kemudian, set brek ini diselaputi dengan rim dan tayar bersaiz 15″.

Sudah habis bahagian ini, kita pergi pula kepada bahgian nadi utama jentera ini iaitu enjin.

Jentera ini dilengkapi dengan enjin 4 silinder berkod 1NZ-FE bersesaran 1,497cc(1.5L). Sedikit info tentang jentera ini, blok enjin ini dibuat dengan menggunakan alumunium. Ia mempunyai “Cylinder Bore” sebesar 75mm dan “Piston Stroke” sepanjang 84.7mm. Kemudian blok enjin ini dipadankan dengan kepala silinder “DOHC” dan mempunyai 16 injap. Sebagai tambahan, kepala silinder dilengkapi dengan sistem Variable Valve Timing with Intelligence(VVT-i). Nisbah mampatan berada pada kadar 10.5:1.

Sistem bahanapi jentera ini menggunakan sistem “Multipoint Injection” dimana 4 unit “Injector” dikawal secara elektronik oleh ECU.

Hasilnya ? 109hp pada 6,000rpm dan daya kilas sekuat 141Nm pada 4,200rpm. Nak cakap power tu taklah. Tapi cukup kuat untuk menggerakkan jentera yang hanya mempunyai berat sebanyak 950kg ini. Lagipun, ini jentera yang dibuat bukan untuk berlumba. Kereta “Family” orang cakap. Namun ada juga yang menggunakan jentera ini untuk berlumba.

Kuasa yang dihamburkan oleh enjin ini kemudian dihantar ke kotak gear automatik 4-kelajuan. Gabungan enjin dan kotak gear ini menghasilkan kadar penggunaan bahan api sekitar 8.8L/100km. Jimat ni Tuan-Tuan.

Data menunjukkan jentera ini mampu memecut dari 0-100km/h secepat 11.9 saat dan mempunyai kelajuan tertinggi 180km/h.

Namun Tuan-Tuan, disebabkan jentera ini sudah 18 tahun berada di pasaran, bermacam-macam jenis modifikasi dan R&D sudah dilakukan oleh rakyat Malaysia.

Ada yang “Bolt On Turbo”, ada yang masih mengekalkan identiti NA, namun menaikkan nisbah mampatannya dan melakukan “Port & Polish” pada bahagian kepala silinder.

Ada juga yang terus memasukkan enjin 2ZZ-GE VVTL-i dekat jentera ini.

Ikutlah resipi masing-masing. Dunia modifikasi tiada batas. Namun siapa sangka sebuah kereta “Family” ini menjadi pilihan ramai untuk dimodifikasi.

Cuma bila dah “Modify”, jangan pula merungut penggunaan bahan api menjadi tinggi. Di zaman Covid-19 ini, harga petrol boleh dikatakan tinggi, inflasi pula mencanak naik. Ye lah, dah “Modify”, takkan pakai RON95 kan ? Haha.

Taknak pening kepala, “keep it stock”. Saya sendiri agak terkejut dengan bertapa jimatnya penggunaan bahanapi jentera ini. Sangat sesuai dipakai untuk kegunaan harian.

Tuan-Tuan, apa yang saya boleh simpulkan tentang jentera ini adalah ia sangat berbaloi untuk dimiliki. Dengan purata harga yang dijual sekitar RM15,000 hingga RM19,000 bagi model “Pre-Facelift”, sudah tentu ianya mampu milik.

Selain itu, kos penjagaan jentera ini juga sangat rendah. Alat ganti pula sangat senang didapati dimana-mana.

Nak buat apa pun senang dengan jentera ini. Nak kekalkan “Stock” pun boleh. Nak main “Make Up” pun boleh. Nak “Modify” kasi laju pun boleh. Sangat versatil.

Sekarang sudah tahun 2021. Masih banyak jentera ini kita lihat menyelusuri jalan raya di Malaysia ini dengan cemerlang. Jarang juga kita dengar rungutan tentang ketahanan jentera ini. “Resale Value” juga boleh dikatakan masih tinggi.

Apa lagi mahu ? Haha. Akhir sekali, sebab dia Toyota. “Reliability at its best”.

Penutup kata : Masih relevan dan berbaloi.

Google ads
Back to top button