,
Buletin

11 KENDERAAN 4X4 & 32 INDIVIDU DITAHAN MASUK HUTAN TANPA PERMIT

Tahukah anda untuk masuk ke kawasan hutan simpan perlukan permit kebenaran? Ya. Ia adalah kawasan yang telah digazetkan oleh Jabatan Hutan Malaysia.

Pada Deepavali lepas, seramai 32 individu yang berumur antara 23 hingga 51 tahun itu ditahan ketika berada dalam Hutan Simpan Berkelah ketika sedang melakukan aktiviti berkelah dan memancing.

Pegawai Pejabat Hutan Daerah (PHD), Mohd Zarin Ramlan berkata, dalam operasi yang turut membabitkan anggota Unit Penguatkuasa Pahang Barat Jabatan Perhutanan Negeri Pahang, pihaknya turut menyita 11 kenderaan pacuan empat roda dan sebuah bot gentian kaca selain beberapa peralatan menangkap ikan.

Katanya, mereka yang ditahan terbahagi kepada beberapa kumpulan dan berada dalam kawasan hutan simpan terbabit untuk beriadah bersama ahli keluarga sambil menangkap ikan di Sungai Song, dan anak Sungai Tekai.

Menurutnya, siasatan mendapati individu yang ditahan terdiri daripada peneroka FELDA Lepar Utara, dan selebihnya datang dari Temerloh, Kuala Lumpur dan Selangor.

“Turut disita sepanjang operasi itu ialah dapur dan tong gas serta empat unit pemotong kayu bergergaji dipercayai untuk memotong kayu bagi mendirikan khemah, termasuk 12 unit tempat tidur (stretcher).

“Ini kali pertama kita mengadakan operasi Deepavali dalam hutan simpan selepas mendapati semakin banyak individu berada dalam hutan simpan tanpa permit,” katanya, di sini, hari ini.

Mohd Zarin berkata, mereka yang ditahan berada dalam hutan simpan tanpa permit boleh dikenakan tindakan undang-undang mengikut Seksyen 47 Akta Perhutanan Negara (APN) 1984, jika sabit kesalahan didenda RM10,000 atau penjara tiga tahun atau keduanya sekali.

Katanya, tangkapan yang dilakukan kali ini diharap menjadi pengajaran kepada pihak lain supaya mematuhi peraturan dan syarat ditetapkan oleh Jabatan Perhutanan Negeri Pahang.

“PHD Jerantut akan menambah lebih banyak papan tanda amaran di semua kawasan hutan simpan di daerah ini bagi memastikan semua pihak mematuhi peraturan.

“Kita tidak akan berkompromi dengan individu yang berada dalam hutan simpan tanpa permit, tindakan tegas menunggu pihak terbabit walaupun apa juga alasan diberikan.

“Operasi Deepavali yang turut disertai Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Pahang dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dianggap berjaya dan berkesan,” katanya yang berharap masyarakat dapat mematuhi peraturan sedia ada.

KREDIT: BERITA HARIAN

Google ads
Back to top button