
WIDAD NAIKKAN TAWARAN RM5.3 BILION KUASAI PLUS 100% – KURANGKAN KADAR TOL, GUNA TEKNOLOGI AI
Pengerusi Eksekutif Kumpulan WBG, Tan Sri Muhammad Ikmal Opat Abdullah berkata, dalam pembentangan kepada Kementerian Kerja Raya semalam, pihaknya menawarkan RM5.3 bilion sebagai pertimbangan tunai.
Di samping pengecualian pampasan sebanyak RM3.038 bilion dan andaian hutang RM30 bilion yang membawa kepada nilai hutang perniagaan untuk ditawarkan sebanyak RM38.338 bilion.

“Semakan semula tawaran itu juga termasuk dua lagi tambahan klausa iaitu pengecualian RM11 bilion sukuk yang dijamin oleh kerajaan dan pilihan oleh kerajaan untuk membeli balik PLUS selepas 10 tahun berdasarkan nilai pasaran,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini hari ini.
Pada 9 Oktober lalu, WBG telah membuat cadangan awal kepada kerajaan untuk membeli konsesi PLUS dengan mengambil alih 51 peratus kepentingan yang dimiliki oleh Khazanah Malaysia Bhd pada nilai pertimbangan tunai RM1.5 bilion atau mengambil alih 100 peratus konsesi yang dimiliki oleh Khazanah dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) pada pertimbangan tunai RM3 bilion.
Tawaran paling tinggi daripada pihak swasta
Tawaran terbaru bernilai RM38.338 bilion termasuk hutang oleh WBG itu merupakan tawaran tertinggi daripada sektor swasta. Menurut laporan akhbar, kerajaan telah menerima tiga cadangan pengambilalihan untuk PLUS.
Ini daripada Maju Holdings Sdn. Bhd., bernilai RM34.9 bilion termasuk hutang, serta masing-masing dari RJR Capital (RM3.5 bilion) dan Tan Sri Halim Saad (RM5.2 bilion).
Baru-baru ini, Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, kerajaan masih belum menemui tawaran yang menarik untuk PLUS. Selepas beberapa pertimbangan, kerajaan meningkatkan tawaran agar ia memberi cerminan prospek yang lebih baik kepada PLUS.
Selain perancangan pengambilalihan ini dapat membantu mengurangkan beban kewangan kerajaan, membantu menjimatkan serta menyenangkan rakyat yang menggunakan lebih raya ini.
Muhammad Ikmal memberitahu, dalam cadangan yang dihantar kepada Kementerian Kewangan, WBG telah menyenaraikan beberapa komitmen untuk pengambilalihan PLUS.

Pengurangan kadar tol, beban kerajaan
Untuk kadar tol, WBG mencadangkan dua mekanisme berbeza. Pertama, 25 peratus hingga 40 peratus pengurangan ke atas pengguna lebuh raya menerusi diskaun tol secara langsung.
Kedua, pengurangan tol 18 peratus secara langsung ke atas pengguna lebuh raya dan pengurangan baki 7 peratus hingga 22 peratus akan disalurkan kepada kerajaan untuk tujuan kebajikan kumpulan sasar.
“Tambahan dari itu, diskaun tol sebanyak 50 peratus akan diberi semasa perayaan utama di Malaysia seperti Hari Raya Aidil Fitri, Tahun Baru Cina dan Deepavali,” katanya lagi.
Beliau menambah, komitmen WBG untuk pengambilalihan ini dapat membantu mengurangkan beban kewangan kerajaan sebagaimana dikecualikan daripada membayar pampasan tol di masa depan dengan pelepasan dari Jaminan Sukuk bernilai RM11 bilion dan pinjaman masa hadapan PLUS yang lain.
WBG akan menaik taraf kemudahan-kemudahan sedia ada, melaksanakan penggunaan teknologi artificial intelligence (AI) bagi meningkatkan kelancaran dan pengurusan trafik, selain merancang untuk menaiktaraf kemudahan sedia ada.
Konglomerat itu juga merancang untuk membangunkan pusat mesra keluarga, outlet membeli belah, pusat-pusat perniagaan dan hub hiburan di sepanjang sehenti antara bandar yang akan dilakukan bagi meningkatkan ekosistem semasa lebuh raya itu.
“Kami akan memperkenalkan beberapa projek atau kerja-kerja bagi memberi manfaat yang lebih besar kepada kontraktor, pembekal dan penyedia perkhidmatan tempatan,” tambah Muhammad Ikmal.
WBG memiliki rekod pencapaian yang membanggakan lebih 20 tahun di dalam industri dan berjaya menyiapkan lebih dari RM2 bilion projek awam dan swasta termasuk perkhidmatan fasiliti dan pengurusan di Istana Negara dan JB Sentral.
Dengan keupayaan dan kekuatan yang ada, WBG yakin dapat menjalankan cadangan pengambilalihan tersebut secara terperinci. Sekali gus memberi faedah kepada kerajaan dan rakyat pada jangka masa pendek dan panjang.