Buletin

12 MAUT KERETA KABEL JATUH DI LOKASI PELANCONGAN POPULAR ITALI

Seramai 12 orang pelancong terbunuh selepas sebuah kereta kabel terjatuh di lokasi pelancongan popular di Itali akibat kegagalan talinya untuk berfungsi, lapor akhbar tempatan, Corriere della Sera.

Kereta kabel yang menghubungkan Tasik Maggiore di Stresa dan Gunung Mottarone itu terjatuh berhampiran sebatang tiang berhampiran puncak gunung. Dua orang kanak-kanak berusia bawah 10 tahun diterbangkan ke hospital Regina Margherita dengan helikopter. 

Difahamkan, terdapat lebih 10 orang mangsa yang berada di dalam kereta kabel tersebut yang mempunyai kapasiti keseluruhan 40 orang. Jurucakap pasukan kecemasan rantau Piedmont, Simone Bobbio menyatakan perincian warga negara mangsa masih belum diperolehi.  

Buat masa ini, pasukan bomba dan penyelamat gunung sedang giat menjalankan operasi mencari dan menyelamat mangsa di lokasi kejadian.

Bagaimanapun, operasi tersebut berdepan kesukaran kerana kereta kabel itu terjatuh ke kawasan hutan yang sukar diakses.

Lokasi pelancongan tersebut menawarkan panorama menakjubkan pada ketinggian 1,500 meter di atas paras laut dan menjadi tumpuan pelancong ketika musim panas dan sejuk. Kereta kabel tersebut ditutup pada tahun 2014 untuk dibaik pulih sebelum dibuka semula pada tahun 2016. 

Google ads
Back to top button