Motosikal

DUCATI HYPERMOTARD 950 SP TERIMA LIVERY BAHARU. ENJIN PATUHI PIAWAIAN EURO 5

Ducati baru-baru ini memperkenalkan livery baharu ke atas model Hypermotard 950 SP. Bukan itu sahaja, semua varian dalam keluarga Hypermotard 950 kini turut mematuhi piawaian emisi Euro 5. 

Ducati menawarkan tiga varian iaitu Hypermotard 950, Hypermotard 950  RVE dan Hypermotard 950 SP. Dilengkapi sistem elektronik temaju Ducati, jentera berkenaan menawarkan keterujaan menunggang di selekoh atau di kawasan bandar kepada pemiliknya. 

Reka bentuk Hypermotard 950 diinspirasikan daripada rekaan motard bersama ekzos berkembar di bawah pelana, komponen mekanikal yang terdedah dan kerangka trellis yang ringan. 

Aspek ergonomik motosikal tersebut memberikan posisi tunggangan yang menegak, pegangan hendal lebar dan tempat duduk rata yang menjanjikan kualiti kawalan terbaik. 

Livery baharu pada Hypermotard 950 SP menggunakan skema warna jentera Ducati dalam perlumbaan MotoGP. Ia diserlahkan menerusi garisan grafik yang menunjukkan karekter dinamik motosikal itu. 

Sebagai varian tertinggi, motosikal itu dipasang dengan suspensi Ohlins, rim tempaan Marchesini serta sistem Ducati Quick Shift (DQS) sebagai ciri standard. 

Jentera itu digerakkan oleh enjin Ducati Testastretta  dua silinder bersesaran 937cc yang mampu menjana kuasa 114hp pada 9,000rpm. 

Kotak gear pula telah disemak semula supaya lebih mudah ditukar kepada kedudukan N, selain membolehkan  penukaran gear dibuat dengan lebih tepat. Ia menggunakan penyelesaian teknikal yang sama seperti model Monster dan SuperSport 950. 

GALERI

Google ads
Back to top button