SEGALANYA TENTANG ØRESUND BRIDGE. SAMBUNGKAN DENMARK DENGAN SWEDEN
Awal minggu ini terdapat satu gambar popular yang berlegar-legar di ruang maya dan laman sosial Facebook. Gambar berkenaan ialah gambar Øresund Bridge yang menghubungkan 2 negara Nordic iaitu Sweden dan Denmark. Setelah meneliti fakta berkenaan jambatan ini, penulis ingin berkongsi maklumat menakjubkan berkenaan jambatan ini
1. Øresund Bridge sebenarnya menghubungkan negara Sweden dengan Denmark bagi merentasi Selat Øresund yang memisahkan antara kedua negara Nordic ini. Walaupun namanya Øresund Bridge tapi ia terdiri dari 3 struktur utama iaitu Øresund Bridge sejauh 7.845km, sebuah pulau buatan sepanjang 4km dan satu terowong buatan yang ditenggelamkan sejauh 4km.
2. Idea pembinaan jambatan ini bermula dari tahun 1930an bagi merancakkan ekonomi kedua-dua negara namun terbantut akibat perang dunia kedua. Kemudian pada 1960an idea ini muncul semula tapi gagal mencapai kata sepakat lokasi jambatan antara Denmark dan Sweden.
Hanya pada tahun 1991 barulah kedua-dua negara menandatangani perjanjian persefahaman bagi membina jambatan bagi menghubungkan Copenhagen di Denmark dan berakhir di Malmo, Sweden. Pembinaan hanya bermula dari tahun 1995 dan mulai dibuka secara rasmi pada 1 Julai 2000.
3. Kedua-dua negara memegang 50% hak pegangan pada jambatan ini dengan kos pembinaan mencecah 3 billion USD. Pakar ekonomi menjangkakan kos pembinaan dapat dikutip dalam masa 30 tahun. Namun ia membantu perkembangan ekonomi bagi kedua-dua negara. Rakyat Sweden boleh mencari kerja di Denmark dan rakyat Denmark boleh membeli rumah di Sweden.
4. Rekaan jambatan ini unik kerana di bahagian bahagian Sweden, Øresund Bridge terdiri daripada jambatan gantung yang menghubungkan ke pulau buatan Peberholm. Dari Perberholm, jambatan ini bersambung dengan terowong yang dibina atas dasar laut sejauh 4km.
Pembinaan terowong ini dibuat bagi mengurangkan risiko kemalangan kerana wujudnya lapangan terbang berhampiran Denmark. Ia juga membenarkan kapal dagang beroperasi seperti biasa tanpa melibatkan risiko kemalangan.
5. Bagi menghasilkan terowong, sebuah pulau buatan diwujudkan sepanjang 4km panjang. Ia dibina dengan menambak kawasan laut dengan batuan gunung sebanyak 1.8 billion kg yang diangkut dari Sweden bagi membentuk parameter pulau.
Setelah parameter itu siap, ia diisi dengan tanah dari dasar laut antara pulau dengan Sweden di mana terowong sepatutnya digali. Sebanyak 2 juta meter padu tanah dan batuan telah digali dan dihantar ke pulau Peberholm bagi membentuk pulau buatan. Apabila siap negara Denmark membesar sehingga 320 ekar.
6. Kerja-kerja penggalian tanah (earthwork) bagi membentuk pulau dan terowong sebenarnya sangat mencabar kerana dasar laut selat ini terdiri dari batuan granit keras. Mesin pengorek kehilangan 52,000 unit drill bit sepanjang kerja penggalian.
Bukan itu sahaja, kontraktor juga berhadapan dengan 17 unit bom tinggalan perang dunia kedua yang tidak meletup. Satu daripada bom tesebut sudah menaiki kapal untuk dihantar ke Peberholm dan nasib baik ia tidak meletup. Tentera Laut Denmark dipanggil bagi mencari dan memusnahkan bom tersebut.
7. Terowong sepanjang 4km dibuat di dok kering berhampiran Sweden yang terdiri daripada 20 unit terowong. Setiap satu unit terowong memiliki panjang 175 meter, lebar 38 meter dan tinggi 8.5 meter. Ia terdiri daripada 2 sub terowong trafik, satu terowong keretaapi 2 landasan dan satu terowong kecemasan.
8. Apabila siap, seksyen terowong ini seberat 55 juta kg perlu dibawa ke tempat pembinaan. Pintu dok kering akan dibuka dan terowong ini akan terapung dan ditunda dengan bot penunda ke tempat pembinaan. Ia perlu ditenggelamkan dengan bantuan GPS, air dipam keluar, ditindan dengan batu dan dilapisi dengan konkrit setebal 1 meter bagi mengelakkannya terapung.
9. Struktur utama Øresund Bridge terdiri daripada 4 batang tiang konkrit setinggi 270 meter. Tapak tiang ini seberat 18 juta kg ditanam di dasar laut sebelum tiang ini dibina dengan bantuan kren. Walupun nampak solid, namun tiang ini menyimpan pelbagai alat bantuan sokongan di dalamnya termasuk lif bagi tujuan penyelenggaraan.
10. Bagi menampung jambatan, kabel keluli setebal 1 meter digunakan. Kabel ini sepanjang 3km adalah seberat 9.5 juta kg ditambat pada tapak jambatan dan ia memerlukan sebuah pulau buatan berhampiran jambatan seluas 64 meter persegi bagi menyerakkan beban jambatan.
11. Jamabatan ini pula dibina secara seksyen demi seksyen dan dihantar ke tapak pembinaan dengan sebuah kapal yang dibina khas. Setiap seksyen memiliki panjang 140 meter dan 23 meter lebar. Ia boleh menampung 4 lorong jalan raya dan 2 landasan keretapi di bahagian bawah.
12. Bagi tujuan penyelenggaraan, sebuah sistem gantry dibina khas di bawah jambatan ini lengkap dengan lengan kren robotik dan juga lif khas untuk memeriksa tiang jambatan. Pasukan servis akan memastikan setiap seksyen memiliki sistem pengudaraan agar kelembapan udara 60% lebih rendah bagi mengelakkan masalah karat.
13. Bagi tujuan pengawasan trafik dan keselamatan, jambatan ini memiliki 30,000 sensor dan 263 kamera CCTV yang dipantau oleh sistem komputer. Komputer akan memberi amaran jika terdapat kereta yang berhenti atau dipandu melawan arus.
14. Sweden dan Denmark menggunakan sistem elektrik yang berbeza. Jadi keretapi elekterik yang bergerak dari Denmark ke Sweden boleh menggunakan sistem grid elekterik 15,000 volt dan apabila menghampiri Sweden ia akan menukar sistem elektrik pada 25,000 volt semasa beroperasi.
15. Denmark dan Sweden juga menggunakan sistem pengunci paip bomba yang berbeza dari segi saiz dan mekanisme. Bagi tujuan keselamatan, semua pili bomba menggunakan 2 jenis pengunci yang boleh digunakan oleh mana-mana pasukan.
16. Pengguna perlu membayar tol bagi menggunakan jamabatan ini. Kos untuk sebuah kereta memandu di Øresund Bridge ialah sekitar DKK 410 (Danish Krone) atau RM 270 sehala. Setakat ini tiada lagi manifesto dibuat untuk memberi tol percuma di sana.