Buletin

174 KABEL PENGECASAN EV DICURI – SYARIKAT PENGENDALI PENGECASAN DI UK PENING KEPALA

Sekiranya anda berkira-kira untuk membeli kereta elektrik kerana kebimbangan pengecasan, jarak gerak dan harga, kini ada permasalahan baharu perlu diambil kira.

Sejak November tahun lalu, Instavolt, pengendali pengecasan pantas terbesar di UK, telah melaporkan 174 kabel dicuri dari 27 tapaknya di Yorkshire dan Midlands.

Dengan setiap kabel berharga sekurang-kurangnya £1,000 (RM5,104), ia merupakan masalah yang mahal – walaupun syarikat itu lebih mengambil berat tentang kesan kecurian terhadap keyakinan orang ramai mengenai EV.

“Kecurian ini amat mengecewakan pelanggan,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Instavolt, Delvin Lane.

“Revolusi EV sedang berjalan, dengan lebih daripada satu juta EV di atas jalan di UK. Misi kami adalah untuk menjadikan pengecasan EV semudah mungkin, dan kebolehpercayaan adalah salah satu nilai teras kami.”

Menurutnya, pencuri melakukan pencurian sepanjang waktu siang dan malam, bahkan kembali ke tapak yang sama – kadang-kadang seawal lapan jam selepas pembaikan dibuat.

Beliau menegaskan, “Kabel itu bukan bar tembaga pepejal, ia hanya dawai nipis yang mengambil masa lama untuk diekstrak.

“Ini adalah tanggapan yang salah bahawa tembaga membawa keuntungan.”

Untuk memerangi pencuri, Instavolt memasang kamera CCTV di setiap tapaknya, mengendalikan rondaan, menggunakan penyelesaian keselamatan Smartwater untuk menandai kabelnya, dan menggunakan peranti pengesan pintar.

Sementara itu, syarikat lain seperti Gridserve juga menjadi mangsa.

Jurucakap Gridserve berkata, “Gridserve memandang serius kejadian vandalisme dan kecurian serta bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa.”

“Kami bertindak secepat mungkin untuk memastikan sebarang pengecas yang rosak kembali beroperasi tepat pada masanya dan sedang menyiasat langkah antikecurian tambahan.”

ChargeUK, persatuan perdagangan untuk industri pengecas, memberitahu Autocar bahawa ia menumpukan usahanya untuk menyelesaikan masalah itu dengan bantuan Pejabat Dalam Negeri dan unit polis.

Ketua Pegawai Eksekutif baharu, Vicky Read, berkata: “Sesetengah syarikat penyedia pengecasan telah terjejas oleh vandalisme di tapak mereka.

“Kami telah bekerjasama dengan polis dan pihak berkuasa berkaitan, termasuk kerajaan, untuk membantu menghalang jenayah ini serta menangkap mereka yang bertanggungjawab.”

Google ads
Back to top button