
BRC 2024 – KEITH CRONIN MUNCUL JUARA PERLUMBAAN KETIGA DI JIM CLARK RALLY
Pemandu kelahiran Ireland, Keith Cronin berjaya muncul juara di pusingan ketiga Probite British Rally Championship, Beatson’s Building Supplies Jim Clark Rally sekali gus berusaha untuk mengejar kejuaraan BRC buat kali kelima sepanjang kerjayanya.
Selepas permulaan yang suram untuk kempen BRC tahun ini, Keith Cronin, bersama Juruarah Mikie Galvin bersama jentera Ford Fiesta Rally2 yang dilengkapi dengan tayar Pirelli berjaya untuk mencatat kemenangan pertama musim ini dan yang lebih penting, kembali bersaing untuk merebut mahkota kejuaraan yang diidamkan.

Mereka berjaya menangkis kemaraan juara Junior BRC 2019 William Creighton dan Liam Regan yang meraih podium kedua, dengan wira tempatan Garry Pearson bersama Juruarah Daniel Barritt melengkapkan podium terakhir sekali gus mendominasi jentera Ford Fiesta Rally2 kali ini untuk penamat podium.

Perlumbaan pusingan ketiga yang berlangsung di sempadan Scotland ini juga tidak terlepas dengan drama. Ketika hari pertama yang berlangsung pada hari Jumaat, cuaca hujan yang membasahi laluan menambahkan lagi drama perlumbaan. Pemandu pilihan, Chris Ingram yang memandu jentera Volkswagen Polo GTi dari pasukan Castrol MEM Rally Team menunjukkan kehandalannya di awal perlumbaan.
Namun kerja keras Chris Ingram untuk mencari kemenangan kedua musim ini terhenti apabila jenteranya mengalami kerosakan dengan sistem suspensi pada hari Sabtu sekali gus memberikan peluang untuk Keith Cronin terus memimpin perlumbaan sehingga penamat.

Sementara itu, William Creighton pastinya masih boleh berasa gembira dengan kedudukan podium kedua kali ini walau pun ini keputusan podium yang ketiga dicatatkan untuk musim ini. Kedudukan podium kedua ini membolehkan pemandu Ireland ini mendahului senarai pemandu untuk kejuaraan BRC musim ini sekali gus menjadi pemandu yang kekal menaiki podium setiap kali perlumbaan musimi ini.
Yang pasti, perlumbaan di Beatson’s Building Supplies Jim Clark Rally ini menjanjikan perlumbaan yang paling mencabar untuk perlumbaan BRC musim ini. Ada beberapa nama pemandu pilihan yang gagal menyerlah seperti Osian Pryce yang tersalah membuat percaturan pilihan tayar serta Meirion Evans yang akur untuk berhenti di tepi jalan setelah mengalami masalah stereng dengan jentera Toyota GR Yaris Rally2.
Perlumbaan Probite British Rally Championship akan berehat seketika dan perlumbaan berikutnya akan berlangsung di Voyonic Grampian Forest Rally pada Ogos nanti.
Kredit Foto : FB BRC
BACA : BRC 2024 – CHRIS INGRAM JUARA PEMBUKA TIRAI MUSIM 2024. APA PULA NASIB PROTON IRIZ RALLY2?
BACA : BRC 2024 – OSIAN PRYCE JUARA PUSINGAN KEDUA DI RALLYNUTS SEVERN VALLEY STAGES

