
3 BUKTI KEJURUTERAAN JENTERA F1 SANGAT OBSES DENGAN BERAT
Tahukah anda bahawa semua jentera F1 yang mengambil bahagian dalam perlumbaan mestilah memiliki berat minima 798kg termasuk dengan pemandu, tayar dan jentera. Ini bermakna jika anda memandu untuk F1, anda dilarang sama sekali makan nasi kandar berlumba.
Satu sebab ialah mungkin perut anda boroi dan tersangkut pada stering dan kedua berat anda tidak kompetitif ketika perlumbaan diadakan. Disebabkan keadaan perlumbaan yang eksterim, pelumba F1 boleh kehilangan sehingga 3kg berat ketika berlumba sepanjang 300km.
Namun bagi memastikan pasukan, jentera dan pemandu mengambil beberapa langkah yang cukup eksterim tapi masih lagi dibenarkan dalam julat dan parameter yang digazetkan oleh FIA. Antara kerja gila yang dibuat oleh pasukan F1 termasuklah:

1. Gear mengundur dibuat dengan minima – ya dibuat sekadar cukup syarat dan asal boleh jalan sahaja. Beberapa tahun lepas wujud satu peraturan tidak bertulis pada setiap pasukan yang tidak membenarkan pemandu menggunakan gear mengundur.
Sekiranya ia digunakan, kemungkinan besar ia akan rosak dan keseluruhan kotak gear perlu ditukar dan penggantian kotak gear yang tidak berjadual akan berdepan dengan penalti. Namun dengan peningkatan kualiti binaan dan bahan, penggunaan gear mengundur sudah tidak menjadi berisiko seperti dulu
Disebabkan jentera F1 amat jarang dipandu secara mengundur, mekanisme gear mengundur dibuat sekecil boleh, ringan dan biasa diposisikan pada bahagian yang kurang ideal. Kedudukannya lebih kepada untuk memberi imbangan berat jentera yang bagus serta sekadar memenuhi peraturan FIA.
Gear mengundur boleh diaktifkan dengan menekan butang Neutral dalam satu tempoh masa tertentu (40 saat). Ditambah pula SOP ini jarang dibuat, memang pemandu tidak tahu berapa lama butang Neutral ini perlu ditekan bagi mengaktifkan gear mengundur. Anda boleh nampak Lewis pun susah nak mengundur dalam video GP Imola tahun 2021

2. Tiada brek parkir – ok bukan masalah besar kan kalau kereta lumba, bukan nak bawa ke pusat membeli belah kan. Pada GP Azerbaijan 2022, jentera Ferrari yang dipandu oleh Carlos Sainz mengalami kegagalan enjin dan mulai terbakar ketika perlumbaan sedang berlangsung pada pusingan ke 57.
Bagi mengelakkan perlumbaan terhenti, Carlos membawa jentera malang ke bahagian run-out dan membrek. Masalahnya dia menghentikan kereta dengan menekan pedal brek dan pada masa sama api sedang marak dari bahagian enjin.
Carlos lantas keluar dari jentera dan jentera F1 mulai bergolek ke belakang kerana tiada parkir brek untuk menghentikannya. Disebabkan itu marshall perlu menghentikan jentera Carlos sebelum memulakan proses memadamkan api. Kan lebih senang kalau ada parkir brek.

3. Tiada air minuman untuk pemandu – ya, jika pemandu berlumba di kawasan yang sejuk dan dingin maka pemandu tidak akan diberikan minuman semasa berlumba. Jika mereka berlumba di kawasan tropika yang panas dengan kelembapan tinggi barulah pelumba dibekalkan dengan air minuman
Ini disebabkan bagi memastikan pelumba dapat minum ketika berlumba, jentera F1 perlu dipasang dengan beg bekalan air, tiub dan pam air khas bagi menghantar air dari beg air ke mulut pemandu melalui tiub yang dipasang dalam topi keledar.
Semua komponen ini akan menyebabkan berat jentera akan bertambah daripada yang sepatutnya. Jadi bagi perlumbaan di kawasan dingin dan tidak memerlukan bekalan air dibawa, pelumba akan minum terlebih dahulu sebelum perlumbaan dimulakan
Dalam semua strategi yang digunakan, kami berpendapat bahawa gear mengundur yang susah digunakan dan juga ketiadaan parkir brek boleh mengundang bahaya dalam situasi kecemasan. Tidak berbaloi jika komponen ini digugurkan semata-mata untuk mengurangkan berat jika ia menjurus kepada kemalangan.


