Buletin

AESON POWER LANCAR BATERI AUTOMOTIF SODIUM-ION TERBAHARU UNTUK PASARAN MALAYSIA

Aeson Power kini secara rasmi melancarkan rangkaian bateri automotif Sodium-ion (atau Natrium-ion) generasi terbaharu di Malaysia, yang terdiri daripada tiga model utama iaitu NaPulse Starting, NaPulse Start-Stop, dan NaForce Start-Stop.

Pelancaran ini menandakan kemasukan rasmi syarikat itu ke pasaran tempatan, sekaligus memperkenalkan alternatif yang lebih selamat, tahan lama dan efisien berbanding bateri asid plumbum konvensional.

Sebagai peneraju dalam teknologi bateri Sodium-ion, Aeson Power menumpukan kepada pembangunan penyelesaian tenaga yang mesra alam dan berprestasi tinggi untuk pelbagai kegunaan, daripada kenderaan penumpang hingga ke kenderaan komersial, industri dan utiliti.

Menariknya, bateri baharu ini direka untuk serasi dengan lebih 95 peratus kenderaan di pasaran, menjadikannya pengganti sesuai bagi bateri jenis MF, EFB dan AGM.

Direka khas untuk iklim Malaysia

Cuaca panas dan lembap di Malaysia sering menjadi cabaran kepada bateri automotif tradisional, dengan suhu ruang enjin boleh melebihi 60°C.

Dalam keadaan ini, bateri asid plumbum lazimnya mudah kehilangan kuasa, mengembang atau rosak. Namun, bateri Sodium-ion keluaran Aeson Power menawarkan ketahanan haba yang jauh lebih tinggi, mampu mengekalkan prestasi stabil pada suhu sehingga 80°C, dan mengekalkan lebih 85% kapasiti asal walaupun selepas sebulan disimpan pada suhu 60°C.

Selain lebih selamat dan tahan terhadap risiko letupan atau kebakaran, bateri ini turut direka khusus untuk menyesuaikan diri dengan iklim tropika Malaysia, memastikan jangka hayat dan kebolehpercayaan maksimum dalam penggunaan harian.

Teknologi canggih dan prestasi mantap

Rahsia di sebalik ketahanan bateri Sodium-ion Aeson Power ialah teknologi bahan katod polianion, yang membolehkan reka bentuk lebih ringan serta pengecasan pantas, daripada 0% ke 100% dalam hanya 40 minit.

Ia juga menawarkan kadar nyahcas tinggi bagi kuasa permulaan lebih kuat, dengan jangka hayat kitaran yang panjang dan kadar penyahcasan diri yang amat rendah.

Menurutnya, bateri ini mampu menahan nyahcas berlebihan dan pulih semula walaupun voltan jatuh ke tahap sifar.

Dari segi ketahanan, ia mempunyai jangka hayat kitaran tiga kali lebih panjang berbanding bateri asid plumbum, dengan 3,000 kitaran @ 50% DoD berbanding hanya 500–1,200 kitaran bagi bateri biasa.

Menariknya, bateri Sodium-ion ini juga mengekalkan prestasi tinggi walaupun pada suhu ekstrem, sedangkan bateri asid plumbum biasanya kehilangan sehingga 15% jangka hayat bagi setiap kenaikan 10°C.

Kuasa lebih padu, jaminan lebih lama

Dengan rintangan dalaman ultra-rendah, bateri Aeson Power mampu menghasilkan kuasa permulaan dua hingga tiga kali ganda lebih tinggi berbanding bateri tradisional, manakala arus puncak dalam 0.3 saat pertama juga mencapai lebih tiga kali ganda.

Julat voltan operasi yang luas antara 6–14V memastikan enjin masih boleh dihidupkan walaupun pada tahap voltan serendah 10.5V, sesuatu yang mustahil bagi bateri asid plumbum biasa.

Harga dan ketersediaan

Rangkaian bateri automotif Sodium-ion NaPulse Starting, NaPulse Start-Stop dan NaForce Start-Stop kini sudah mula dijual di Malaysia pada harga bermula RM369, disertakan waranti selama tiga tahun.

GALERI:

Google ads
Back to top button