Buletin

DI SEBALIK KONFLIK IRAN: SIAPA TERKESAN DALAM INDUSTRI AUTOMOTIF GLOBAL?

Ketegangan konflik melibatkan Iran dijangka memberi kesan kepada beberapa pengeluar kenderaan antarabangsa, khususnya syarikat dari Jepun, Korea Selatan dan China yang mempunyai pengaruh besar di pasaran Timur Tengah.

Menurut analisis firma penyelidikan kewangan Bernstein, pengeluar seperti Toyota Motor, Hyundai Motor serta jenama China termasuk Chery berpotensi menerima impak paling ketara sekiranya konflik berpanjangan.

Laporan tersebut menyatakan bahawa ketiga-tiga pengeluar ini menyumbang kira-kira satu pertiga daripada jumlah jualan kenderaan bukan domestik di Timur Tengah.

Toyota Motor mendahului dengan kira-kira 17 peratus pegangan pasaran, diikuti Hyundai Motor sekitar 10 peratus, manakala Chery sekitar lima peratus.

Di pasaran Iran pula, syarikat tempatan seperti Iran Khodro dan SAIPA masih menguasai jualan, dengan Chery berada di belakang mereka dengan anggaran pegangan pasaran sekitar enam peratus.

Selain itu, Timur Tengah kini menjadi antara destinasi penting bagi eksport kereta dari China. Berdasarkan data eksport China yang dirujuk oleh Bernstein, kira-kira 17 peratus eksport kereta penumpang negara itu pada 2025 dihantar ke rantau berkenaan.

Konflik tersebut juga menimbulkan kebimbangan terhadap laluan perdagangan utama di Selat Hormuz yang menghubungkan Teluk Parsi dengan Teluk Oman serta Lautan Hindi. Laluan ini bukan sahaja penting untuk penghantaran minyak mentah, malah menjadi laluan utama bagi penghantaran kenderaan dan komponen automotif ke Timur Tengah.

Sekiranya laluan ini terganggu atau ditutup, tempoh penghantaran barangan dijangka bertambah antara 10 hingga 14 hari, sekali gus meningkatkan kos logistik serta menjejaskan jadual penghantaran kenderaan.

Setiap hari dianggarkan sekitar 20 juta tong minyak mentah melalui Selat Hormuz, menurut firma perunding AlixPartners. Sebarang gangguan di laluan tersebut berpotensi memberi kesan rantaian kepada industri automotif global.

Dalam kalangan pengeluar Eropah, Stellantis – syarikat induk kepada jenama seperti Jeep dan Chrysler – dilihat mempunyai pendedahan risiko yang agak besar.

Kenaikan harga minyak turut memberi tekanan kepada pasaran. Harga minyak mentah Amerika Syarikat dilaporkan melepasi AS$90 (kira-kira RM423) setong, manakala harga purata petrol di negara itu meningkat kepada sekitar AS$3.25 segelen (sekitar RM15.30), menurut kumpulan pemandu AAA.

Situasi ini boleh memberi kesan kepada strategi pengeluar yang kembali menumpukan kepada enjin besar seperti HEMI V8, ketika pasaran global sedang beralih kepada teknologi elektrifikasi.

Sementara itu, Toyota Motor memaklumkan bahawa syarikat itu tidak menjalankan perniagaan di Iran, namun tetap memantau perkembangan konflik dan mengutamakan keselamatan pekerjanya di rantau Timur Tengah.

Setakat ini, Hyundai Motor dan Chery masih belum mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung perkara tersebut.

Google ads
Back to top button