
CFMOTO AMBIL ALIH KALEX ENGINEERING – INI APA YANG ANDA PERLU TAHU
Dalam diam, CFMOTO mengorak langkah besar dalam sukan permotoran apabila berjaya mengambil alih 51 peratus saham majoriti Kalex Engineering.
Difahamkan, pengambilalihan itu berlaku menerusi anak syarikat CFMOTO di Eropah, Helmsmen Europe.
Menerusi urusan itu, baki 49 peratus saham kekal dipegang oleh pengasas Kalex, Alex Baumgärtel dan Klaus Hirsekorn dengan kedua-duanya akan meneruskan watak penting dalam operasi syarikat termasuk pengurusan dan pembangunan teknologi.

Untuk rekod, Kalex merupakan pengeluar casis terkemuka dunia terutamanya dalam ekosistem MotoGP. Ini kerana Kalex merupakan pembekal teknikal sejak kategori Moto2 diperkenalkan pada tahun 2010.
Kejayaan Stefan Bradl merangkul kejuaraan dunia Moto2 pada 2011 menandakan permulaan kepada dominasi Kalex dalam kelas tersebut. Sejak tahun 2013, Kalex telah menyumbang kepada 15 kejuaraan dunia di Moto2 dengan 13 pelumba menggunakan jentera yang dilengkapi dengan casis Kalex.
Ketika ini, 20 daripada 28 pelumba di grid Moto2 bersaing dengan casis Kalex.

Menurut Kalex, perkembangan terbaru ini akan menyaksikan kedua-dua entiti berkongsi teknologi dan kejuruteraan termasuk mengaplikasikan teknologi perlumbaan pada motosikal CFMOTO. Menariknya kesemua pasukan teknikal dan struktur operasi Kalex akan dikekalkan dan beroperasi seperti biasa seperti sebelum ini.
Dalam pada itu, entiti berkaitan (industri motosikal) melihat perkembangan terbaru ini akan memperkukuhkan kedudukan CFMOTO bukan hanya dalam sektor motosikal malah dalam peringkat perlumbaan termasuk MotoGP.

CFMOTO merupakan antara jenama motosikal dari China yang paling cepat menambat hati peminat dua roda dunia termasuk di Malaysia. Kerjasama sedia ada dengan KTM dan Yamaha (menghasilkan motosikal Yamaha di China) membuktikan jenama itu sudah berada di tahap yang setaraf jenama terkemuka lain terutamanya Jepun dan Eropah.







