Buletin

BYD LUASKAN RANGKAIAN EV DENGAN BILIK PAMERAN DAN PUSAT SERVIS BAHARU

Usaha memperluaskan akses kepada kenderaan elektrik di Malaysia terus dipergiat apabila BYD Sime Motors meningkatkan rangkaian bilik pameran serta pusat perkhidmatan selepas jualan di seluruh negara.

Pengedar rasmi kenderaan BYD di Malaysia itu kini mempunyai lebih 40 bilik pameran, selain merancang menyediakan sebanyak 34 pusat servis menjelang 2026, termasuk sembilan kemudahan baharu yang sedang disiapkan.

Langkah tersebut bertujuan memastikan pelanggan di pelbagai wilayah dapat menikmati pengalaman pemilikan kenderaan elektrik dengan lebih mudah, termasuk di kawasan di luar bandar utama.

Di selatan tanah air, jenama itu kini memperluaskan operasi ke bandar kedua di Johor melalui pembukaan pusat jualan di Muar dan Kluang. Sementara itu, di Pantai Timur, kehadiran baharu di Kuala Terengganu melengkapkan rangkaian sedia ada di Kuantan dan Kota Bharu bagi memenuhi peningkatan permintaan terhadap kenderaan elektrik.

Wilayah utara pula menyaksikan pembukaan beberapa cawangan baharu termasuk di Sungai Petani, Juru serta pusat 3S di Ipoh yang menawarkan perkhidmatan jualan, servis dan alat ganti. Menariknya, kemudahan di Ipoh turut menempatkan hab pengecas EV pertama di bandar berkenaan dengan pengecas pantas DC berkapasiti 240kW dan 180kW.

Di Lembah Klang, pusat 3S di Sri Hartamas menawarkan konsep unik kerana terletak di dalam pusat beli-belah, sekali gus memudahkan pelanggan menguruskan keperluan kenderaan sambil menjalani aktiviti harian.

Selain itu, rangkaian yang semakin berkembang ini turut disokong oleh 12 pusat baik pulih dan cat badan kenderaan, dengan beberapa lagi kemudahan seumpamanya dirancang pada masa akan datang. Inisiatif tersebut bertujuan meningkatkan keyakinan pemilik terhadap sokongan selepas jualan jangka panjang.

Sebagai jenama kenderaan elektrik bateri (BEV) paling laris di Malaysia selama tiga tahun berturut-turut, pertumbuhan rangkaian ini mencerminkan peningkatan kepercayaan pengguna terhadap teknologi mobiliti elektrik.

Sepanjang 2025 sahaja, BYD mencatat penyerahan sebanyak 14,407 kenderaan kepada pelanggan, meningkat 68 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Jenama itu juga berjaya memperoleh 10,000 pelanggan pertama dalam tempoh 20 bulan sebelum menambah 10,000 pelanggan berikutnya hanya dalam masa 13 bulan.

Prestasi tersebut menyaksikan BYD melonjak daripada kelompok 10 jenama teratas pada 2024 kepada kedudukan keenam jenama kereta paling laris di Malaysia pada 2025 serta berada di tangga keempat bagi jenama bukan nasional. Syarikat itu kini menyasarkan jumlah pelanggan mencecah 30,000 orang menjelang April 2026.

Pengarah Urusan BYD Malaysia, Eagle Zhao berkata, perkembangan rangkaian tersebut mencerminkan kerjasama erat antara BYD dan Sime Motors dalam meningkatkan standard pemilikan EV di negara ini.

Menurutnya, rangkaian yang komprehensif membolehkan syarikat menawarkan sokongan menyeluruh sepanjang kitaran pemilikan kenderaan, sekali gus meningkatkan keyakinan pelanggan termasuk dari aspek nilai jualan semula.

Beliau menambah setiap bilik pameran baharu direka bagi menawarkan pengalaman lebih moden dengan gabungan teknologi canggih dan suasana premium yang berfokuskan pelanggan.

Sementara itu, Pengarah Urusan Asia Tenggara Sime Motors, Jeffrey Gan berkata kadar penerimaan EV dalam kalangan rakyat Malaysia semakin meningkat seiring kesedaran terhadap mobiliti mampan.

Menurutnya, walaupun pasaran automotif semakin kompetitif, syarikat yakin mampu memperkukuh kehadiran jenama tersebut melalui penawaran pengalaman pelanggan yang lebih premium serta penyelesaian mobiliti pintar tanpa pelepasan karbon.

Dalam masa sama, sokongan selepas jualan terus dipertingkatkan melalui pasukan seramai 80 juruteknik EV bertauliah yang dilatih di akademi BYD, selain sistem gudang alat ganti berpusat bagi memastikan bekalan komponen sentiasa mencukupi.

Bagi pelanggan, langkah ini memberi jaminan tempoh menunggu servis yang lebih singkat, ketelusan perkhidmatan serta keyakinan bahawa kenderaan mereka dikendalikan oleh pakar.

Selaras dengan perkembangan rangkaian pada tahun ini, BYD Sime Motors turut merancang membuka sebuah bilik pameran utama dikenali sebagai BYD Mansion di Macalister, Pulau Pinang.

Outlet berkenaan akan menggabungkan elemen budaya tempatan dalam konsep reka bentuknya, sekali gus mewujudkan ruang pameran yang lebih eksklusif.

Konsep tersebut dijangka diperluaskan secara berperingkat ke bilik pameran lain, selari dengan aspirasi syarikat untuk memastikan setiap titik interaksi pelanggan mencerminkan identiti jenama serta komuniti setempat.

Melalui peluasan rangkaian, peningkatan kemudahan pengecasan, keupayaan teknikal serta persekitaran runcit yang lebih premium, BYD Sime Motors terus memperkukuh ekosistem EV di Malaysia bagi menyokong pertumbuhan mobiliti elektrik pada masa depan.

Google ads
Back to top button