Buletin

JPJ PERKENAL PLATFORM LELONGAN AWAM KENDERAAN DALAM TALIAN, JPJvBID

Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) memperkenalkan platform lelongan awam kenderaan dalam talian melalui aplikasi JPJvBID dimana ia boleh dimuat turun bermula 10 Mac ini melalui Play Store, Apple App Store dan Huawei AppGallery.

Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli berkata, inisiatif tersebut merupakan langkah strategik jabatan dalam memperkukuh ketelusan, kecekapan serta integriti pengurusan pelupusan kenderaan.

Menurut beliau, sebagai langkah permulaan, projek rintis akan dilaksanakan di JPJ Selangor sebelum diperluaskan secara berfasa ke seluruh negara.

“Pelaksanaan awal ini melibatkan 30 buah kenderaan terdiri daripada motosikal, kereta dan kenderaan scrap untuk dilelong.

“Selaras dengan pelaksanaan secara digital dan dalam talian, pemeriksaan fizikal kenderaan bagi tujuan bidaan tidak lagi dibenarkan. Sebaliknya, pembida perlu merujuk sepenuhnya kepada imej kenderaan yang dipaparkan dalam aplikasi tersebut,” katanya.

Tambah beliau, ia bagi membantu orang awam membuat penilaian dan keputusan yang lebih tepat serta JPJ turut menyediakan Laporan Penarafan Kenderaan sebagai rujukan tambahan.

Aedy Fadly memberitahu, akses ke aplikasi itu boleh dibuat menggunakan ID MyJPJ sedia ada atau melalui pendaftaran baharu di portal rasmi JPJ.

Ujarnya, orang awam yang berminat boleh mula membeli e-katalog bagi tujuan penyertaan bidaan bermula 18 hingga 31 Mac ini pada harga RM50 bagi setiap sesi pelelongan.

“Bidaan pertama melalui aplikasi JPJvBID akan berlangsung selama lima hari bermula 1 hingga 5 April, manakala pemakluman kepada pembida yang berjaya akan dibuat pada 6 April.

“Proses tukar hak milik kepada pembida berjaya akan dilaksanakan dari 7 hingga 20 April, manakala penyerahan kenderaan dijadualkan pada 21 April,” katanya.

Menurut beliau, pihaknya menyeru orang awam yang berminat agar mengambil peluang tersebut dengan mematuhi segala syarat serta garis panduan yang ditetapkan bagi memastikan proses lelongan berjalan lancar, adil dan teratur.

Ujarnya, pelaksanaan JPJvBID diyakini mampu memperkukuh integriti pengurusan kenderaan sitaan di samping meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.

“Inisiatif ini membuktikan kesungguhan JPJ dalam mendukung agenda pendigitalan kerajaan serta memastikan setiap proses dilaksanakan secara profesional, adil dan bebas daripada unsur ketirisan.

“JPJ akan terus menambah baik sistem ini dari semasa ke semasa bagi memastikan kepentingan awam sentiasa terpelihara dan keyakinan rakyat terhadap jabatan terus diperkukuh,” katanya. – Sinar Harian

Google ads
Back to top button