,
Artikel Pilihan

AMG M139 – ENJIN PRODUKSI 2.0L PALING BERKUASA DI DUNIA!!!

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera. Hari ini kita akan membincangkan tentang sebuah enjin baru daripada Mercedes-AMG iaitu enjin yang dikenali dengan kod M139.

Pada artikel sebelum ini, kita ada membincangkan tentang enjin produksi sesaran 2.0cc yang terkuat di dalam kelasnya iaitu enjin berkod M133 daripada Mercedes-AMG. Enjin ini dimuatkan kedalam ruang enjin kenderaan model A45, CLA45 dan juga GLA45. Justeru, disini kita dapat lihat bahawa Mercedes Benz adalah pemegang rekod dunia bagi pengeluar enjin produksi sesaran 2.0cc.

Namun, sudah menjadi lumrah. Rekod adalah untuk dipecahkan. Bukan untuk dipegang. Ketika pengeluar lain sedang mengerah idea dan tenaga untuk melawan kekuatan M133 yang berkuasa 375hp dan 475Nm Torque, Mercedes Benz sekali lagi melalui AMG memecahkan rekod sedia ada dengan pengeluaran M139 ini.

Enjin M139 ini mampu menghamburkan kuasa sebanyak 382hp dan Torque sebanyak 480Nm bagi model asas. Kemudian, 416hp dan Torque sebanyak 500Nm bagi model “S”. Peningkatan 41hp dan Torque sebanyak 25Nm ! Mungkin ada yang berkata, M133 stage 2 pun dah boleh dapat kuasa macam ni. Tapi sekarang ni kita cerita pasal stok kilang Tuan-Tuan. Tak main lah stage-stage ni. Apa perasaan kalau dah habis beribu naikkan stage, kereta keluar showroom selamba tapau. Kahkahkah. Ingat murah ke nak naiktaraf M133 ni ?

Berbalik pada cerita M139 ni, enjin ini bukanlah enjin M133 yang dinaiktaraf. Akan tetapi, ia merupakan sebuah enjin baharu yang dibina khusus untuk dimuatkan kedalam keluarga siri “45” yang terbaru.

Perkara utama yang diperlukan untuk memecahkan rekod sebagai enjin paling kuat adalah unit blok enjin yang kuat. Blok enjin M139 ini adalah lebih ringan dan kuat daripada M133 dan boleh menampung sehingga 160 bar tekanan pembakaran(Combustion Pressure) ! Selain itu, pihak Mercedes juga menyatakan bahawa unit blok enjin ini adalah sekuat blok enjin diesel moden yang terdapat di pasaran. Dinding silinder blok enjin ini diselaputi oleh “AMG Nanoslide” untuk mengurangkan geseran. Teknologi ini diambil daripada Formula 1 ! Bukan biasa-biasa ! Komponen-komponen dalam enjin tak perlu disebut lagi, semuanya “Forged”. Cukup kuat dah.

Oh ya, kedudukan enjin M139 ini juga adalah berlainan daripada M133 kerana kedudukannya diubah 180 darjah. Hal ini bermakna kedudukan unit Turbo adalah di belakang dan “Intake Manifold” di depan. Kenapa buat macam ni ? Menurut Mercedes, ia dilakukan untuk memendekkan laluan sistem Turbo dan juga membolehkan kenderaan direka lebih rendah lagi pada bahagian hadapan untuk Aerodinamik yang lebih baik.

Diatas saya sudah menyatakan bahawa enjin ini mampu menghambur kuasa sebanyak 416hp dan Torque sebanyak 500Nm. Namun, anda tidak perlu takut akan angka ini kerana pihak Mercedes menala enjin ini supaya mudah dikawal. Puncak kuasa enjin ini berapa pada 6,750RPM dan puncak Torque berada pada 5,000-5,250RPM. Untuk pengetahuan, “Redline” enjin M139 ini adalah 7,200RPM. Mengaum bukan ? Berbalik pada cerita mudah dikawal, pihak Mercedes menyatakan bahawa cara enjin ini memberi kuasa adalah seakan-akan enjin “Naturally Aspirated”(NA). Macam mana tu ? Respon ! Enjin M139 ini memberi respon sama seperti enjin NA. Tekan pergi. Tekan lagi pergi lagi. Tiada lag langsung ! Jadi bukan saja-saja pihak Mercedes letak puncak kuasa dan Torque pada RPM tinggi. Biar perjalanan kuasa dan Torque itu bergerak seiring dengan pedal minyak.

Untuk menghasilkan respon yang baik, pihak Mercedes menggunakan unit Turbo jenis “Twin Scroll Roller Bearing”. Untuk perbandingan, M133 masih menggunakan “Journal Bearing”. “Roller Bearing” mampu untuk mengurangkan geseran pada turbin dan membenarkannya berpusing sehingga 169,000RPM tanpa masalah ! Pada puncak kuasa, tekanan yang mampu diberikan oleh Turbo ini adalah sebanyak 2.1 bar. Hahaha ! 2.1 bar stok kilang !

Boost dikawal oleh “Electronic Wastegate”. Kawalan akan dilakukan dengan mengambil data tekanan, posisi “Throttle Flap” dan data daripada “Knock Sensor” bagi membenarkan berapa banyak tekanan yang perlu dilepaskan. Lebih baik bukan dari vakum ? Unit turbo yang bekerja keras ini kemudiannya bukan sahaja disejukkan oleh minyak dan air, akan tetapi ia juga menerima sejukan dari udara. Terdapat saluran udara yang terletak ni bonet dan penutup enjin menghala terus ke unit turbo. Benda se”mudah” ini pun mereka ambil kira.

Boost dah tinggi, macam mana dengan “Air Fuel Ratio” ? Tak “too lean” ke enjin nanti ? Jangan risau, enjin M139 dilengkapi bukan 4, tapi 8 unit “Injector”. Pihak Mercedes menggabungkan sistem “Direct Injection” dan “Port Injection” pada enjin ini buat julung kalinya. Ketika pemanduan biasa, hanya “Piezo Direct Injectors” sahaja yang berfungsi untuk memancitkan bahanapi ke kebuk pembakaran. Namun, apabila kaki pemandu semakin berat, lebih bahanapi diperlukan untuk menyokong masukan udara. Jadi, “Port Injectors” berfungsi untuk menyokong sistem “Direct Injection” ketika diperlukan agar enjin mendapat sumber bahanapi yang cukup ketika RPM tinggi.

Tidak dilupakan, enjin ini dilengkapi dengan sistem “Camtronic”. Sistem ini berfungsi sama seperti VTEC yang terdapat pada Honda. “Camshaft” enjin ini mempunyai profil yang berlainan dan berfungsi mengikut kesesuaian keadaan. Tujuannya masih sama, respon pada RPM rendah dan lebih kuasa pada RPM tinggi.

Sebenarnya Mercedes Benz tak perlu pun buat macam ni, M133 yang sedia ada pun dah cukup berkuasa dan memegang rekod sedia ada. Namun seperti ada sesuatu yang berlaku di bilik mesyuarat cabang AMG. Mungkin ada perlantikan Ketua Pemuda baru yang gilakan kuasa agaknya. Haha.

Memetik kenyataan Pengerusi Mercedes-AMG Tobias Moers, “Not only is the output per liter unrivaled for a turbocharged engine, the high level of efficiency also demonstrates that the internal combustion engine still has further potential”. Disini kita dapat lihat yang pihak Mercedes-AMG sangat serius dalam pembangunan enjin ini. Dan tidak akan terhenti sampai disini. Untuk projek akan datang ? kita masih tak tahu. Dari segi ketahanan enjin, Mercedes-AMG mempunyai reputasi yang agak baik. Sama-sama kita nantikan kemunculan enjin M139 ni.

GALERI

Google ads
Back to top button