
XIAOMI BERI BAYANGAN MODEL BAHARU, SEDAN MEWAH 5.2 METER
Xiaomi bakal memperluas barisan kenderaan elektriknya menerusi sebuah sedan mewah baharu selepas permohonan tanda dagangan SU9 LUX mencetuskan spekulasi mengenai model flagship generasi seterusnya.
Permohonan tanda dagangan berkenaan difailkan pada 13 Februari 2026 di China di bawah Kelas 12, meliputi kategori kenderaan bermotor. Ia diterbitkan untuk kelulusan awal pada 6 Jun lalu, dengan tempoh bantahan berlangsung dari 7 Jun hingga 6 September 2026.
Penggunaan angka sembilan pada nama model itu turut mencetuskan perhatian kerana ia sering dikaitkan dengan kenderaan flagship dalam pasaran China, termasuk Zeekr 9X, Aito M9, Li Auto L9 dan Nio ET9.
Sementara itu, akhiran “LUX” dipercayai berkemungkinan merujuk kepada ciri kemewahan, namun Xiaomi belum pernah menggunakan format penamaan berkenaan sebelum ini.
Syarikat itu juga dilaporkan telah memohon tanda dagangan SU7 LUX, walaupun langkah tersebut tidak semestinya bermaksud kedua-dua model akan memasuki pasaran.
Berdasarkan gambar intipan yang tersebar, SU9 LUX dipercayai sebuah sedan bersaiz besar dengan jarak roda lebih panjang berbanding SU7 sedia ada. Model berkenaan dilaporkan mempunyai panjang melebihi 5.2 meter, manakala jarak rodanya dianggarkan sekitar 3.1 meter.
Antara ciri yang dikaitkan dengan prototaip tersebut termasuk sistem stereng roda belakang, perumah kamera sisi dengan reka bentuk baharu serta penambahan sensor radar pada bahagian sisi. Bagaimanapun, semua maklumat itu masih berdasarkan laporan dan gambar intipan, tanpa pengesahan rasmi daripada Xiaomi.
Sedan dengan jarak roda panjang mempunyai permintaan tersendiri di China, khususnya dalam kalangan pengguna korporat dan pemilik yang mengutamakan keselesaan penumpang belakang.
Pengeluar tradisional seperti Audi, Mercedes-Benz dan BMW turut menawarkan model khusus pasaran China menerusi A6L, E-Class L dan 5 Series Li.
Xiaomi memasuki industri automotif menerusi sedan SU7 pada Mac 2024, sebelum memperkenalkan SU7 Ultra pada Februari 2025. Pengeluar teknologi itu kemudian mengembangkan rangkaian kenderaannya dengan SUV elektrik YU7 pada 26 Jun 2025.
Pada Mac 2026, Xiaomi memperkenalkan SU7 generasi baharu sebelum memperluas penawaran SUV menerusi siri Sky Nomad pada September tahun sama.
Setakat ini, Xiaomi masih belum mengesahkan nama akhir, spesifikasi, dimensi rasmi atau tarikh pelancaran sedan yang dikaitkan dengan SU9 LUX itu.







