Buletin

MALAYSIA JADI PUSAT SERVIS MERCEDES-AMG ONE PERTAMA DI ASIA TENGGARA

Malaysia mengukuhkan kedudukannya sebagai pusat perkhidmatan automotif berteknologi tinggi di rantau ini menerusi pembukaan pusat servis khusus Mercedes-AMG ONE pertama dan satu-satunya di Asia Tenggara.

Kemudahan yang terletak di Hap Seng Star Bukit Tinggi itu dibangunkan dengan pelaburan RM2.2 juta oleh Mercedes-Benz Malaysia bagi menyediakan khidmat penyelenggaraan khusus untuk hypercar berteknologi Formula 1 berkenaan.

Pusat berkenaan merupakan sebahagian daripada rangkaian terhad pusat servis Mercedes-AMG ONE di seluruh dunia, yang turut beroperasi di Jerman, Switzerland, beberapa lokasi di Timur Tengah serta Jepun.

Penubuhan fasiliti itu membolehkan pemilik Mercedes-AMG ONE di Malaysia dan negara sekitar mendapatkan sokongan teknikal khusus tanpa bergantung sepenuhnya kepada pusat servis di luar rantau ini.

Ketua Pegawai Eksekutif dan Presiden Mercedes-Benz Cars Malaysia merangkap Ketua Wilayah Mercedes-Benz Cars Asia Tenggara, Martin Schulz, berkata pembukaan pusat servis itu memperluas peranan Malaysia sebagai hab strategik syarikat dalam menyokong pasaran serantau.

Menurutnya, teknologi kompleks yang dibawa daripada dunia Formula 1 memerlukan kepakaran, peralatan dan prosedur penyelenggaraan yang jauh berbeza daripada kenderaan biasa.

Pusat servis itu dilengkapi peralatan khas untuk sistem voltan tinggi, peranti diagnostik khusus serta persekitaran kerja terkawal bagi memastikan setiap proses penyelenggaraan dilakukan mengikut piawaian ditetapkan Mercedes-AMG.

Selain kemudahan khusus, pasukan juruteknik tempatan turut menjalani latihan dan memperoleh pensijilan Mercedes-AMG untuk melaksanakan kerja diagnostik, penyelenggaraan serta pembaikan yang diluluskan pengeluar.

Naib Presiden Khidmat Pelanggan dan Pembangunan Rangkaian Mercedes-Benz Malaysia dan Asia Tenggara, Edmin Naidoo, berkata tanggungjawab pusat itu bukan sekadar memastikan kenderaan berada dalam keadaan baik, malah memelihara prestasi dan keutuhan kejuruteraan sebuah hypercar yang sangat eksklusif.

Mercedes-AMG ONE dihasilkan dalam jumlah terhad sebanyak 275 unit di seluruh dunia. Model berkenaan menggunakan sistem hibrid E PERFORMANCE yang menggabungkan enjin V6 turbo 1.6 liter dengan empat motor elektrik, menghasilkan kuasa keseluruhan melebihi 1,063hp.

Teknologi rangkaian kuasanya mengambil inspirasi secara langsung daripada jentera Formula 1, sekali gus menjadikan aspek penyelenggaraan dan keselamatan sistem hibrid antara keutamaan utama.

Dari sudut operasi serantau, kedudukan Malaysia yang mempunyai jaringan pengangkutan darat, laut dan udara menjadi antara faktor pemilihan negara ini sebagai pangkalan perkhidmatan.

Kemudahan tersebut turut mendapat manfaat daripada kedekatannya dengan hab logistik alat ganti Mercedes-Benz Asia Pasifik di Malaysia, sekali gus membantu mempercepat pengurusan inventori dan penghantaran komponen yang diperlukan.

Sokongan lain merangkumi pasukan teknikal yang boleh digerakkan ke lokasi pelanggan bagi memberikan bantuan awal, pegawai penghubung untuk pelanggan antarabangsa serta sistem digital bagi menyediakan laporan diagnostik secara telus dan masa nyata.

Ketua Bahagian Automotif Hap Seng Consolidated, Lee Weng Yew, berkata pelantikan Hap Seng Star Bukit Tinggi sebagai pusat servis berkenaan mencerminkan keyakinan Mercedes-Benz Malaysia terhadap keupayaan teknikal dan kesiapsiagaan pasukan mereka.

Pembukaan pusat itu turut mencerminkan potensi Malaysia untuk mengembangkan sektor perkhidmatan automotif bernilai tinggi, selain memperkukuh daya saing negara sebagai pusat sokongan teknikal bagi kenderaan berprestasi tinggi di rantau Asia Pasifik.

Google ads
Back to top button