Buletin

AUDI A6 SEDAN & A7 SPORTBACK – KINI DALAM VARIAN 2.0 TFSI quattro 

Audi Malaysia baru-baru ini mengumumkan kehadiran varian baharu untuk Audi A6 dan coupé lima pintu Audi A7 Sportback.  Audi A6 2.0 TFSI quattro diposisikan di antara model asas Audi A6 1.8 TFSI dan Audi A6 3.0 TFSI quattro. Ia kelihatan sama seperti model yang lebih tinggi itu, kecuali dipasang dengan rim aloi sepuluh jejari bersaiz 18 inci.

Dengan perkadaran yang seimbang, gaya mantap Audi A6 2.0 TFSI quattro diserlahkan lagi dengan gril  Singleframe serta lampu LED di hadapan dan belakangnya.

Audi A7 2.0 TFSI quattro pula memberi satu lagi pilihan kepada pelanggan yang mahukan gabungan reka bentuk coupe, keselesaan sebuah sedan dan praktikaliti jentera Avant (station wagon). Kelihatan sama sahaja dengan varian berenjin 3.0 liter, Audi A7 Sportback 2.0 TFSI quattro tampil progresif bersama bonet yang panjang.

Di bawah hud, kedua-dua jentera itu dipacu oleh enjin empat silinder 2.0 liter dengan pengecas turbo yang mampu menjana kuasa mencecah 252hp dan tork maksimum 370Nm pada 1,600 hingga 4,500rpm.

Enjin berprestasi tinggi itu kemudian dipadankan dengan transmisi S tronic tujuh kelajuan automatik dan pacuan semua roda quattro. Hasilnya, A6 2.0 TFSI mampu memecut dari 0-100km/j dalam masa 6.5 saat dan coupe itu pula 6.7 saat.

Di bahagian kabin, tempat duduk Audi A6 2.0 TFSI dibalut dengan kulit Milano yang mewah dan selesa. Sedan itu dilengkapo sistem navigasi Audi MMI dan MMI Touch yang boleh dioperasi melalui skrin bersaiz lapan inci.

Ciri Audi connect menawarkan fungsi Google Earth dan Wi-Fi hotspot. Sementara sistem bunyi Bose dengan 14 unit pembesar suara pasti dapat memuaskan halwa telinga anda.

Audi A7 2.0 TFSI quattro hadir dengan ruang dalaman lebih sporty. Tempat duduk sport dibalut dengan kulit Alcantara. Ia berkongsi sistem infotainmen dan ketersambungan yang sama dengan A6 Sedan, tetapi ditambah ciri Audi Smartphone Interface.

Dari segi keselamatan, kedua-dua jentera tersebut dilengkapi pelbagai ciri termasuklah hill descent control, Electronic Stabilisation Control (ESC) yang merangkumi Traction Control (ASR), Electronic Brake Force Distribution (EBD), Electronic Differential Lock (EDL) dan brek ABS. Ia juga dipasang dengan lapan beg udara.

Sudah boleh ditempah di semua pengedar sah Audi, Audi A6 2.0 TFSI quattro ditawarkan pada herga bermula RM407,900. Manakala Audi A7 2.0 TFSI quattro pula berharga RM484,900.

Google ads
Back to top button