
AUTO CONNEXION-FORD ERATKAN HUBUNGAN DENGAN PEMILIK, BERI GANJARAN BAGI SETIAP PERJALANAN
Auto ConneXion-Ford terus memperkukuh hubungan dengan pemilik kenderaan Ford di Malaysia menerusi pelbagai program komuniti dan aktiviti gaya hidup yang direka khas untuk mendekatkan pelanggan dengan jenama tersebut.
Sempena sambutan bulan Merdeka, pengedar tunggal kenderaan Ford di Malaysia itu meraikan pencapaian lebih 24,000 pemilik Ford Ranger Generasi Baharu di seluruh negara.
Jumlah tersebut mencerminkan penerimaan kukuh terhadap model pikap berkenaan yang menjadi pilihan ramai untuk kegunaan harian, perniagaan, aktiviti keluarga dan pengembaraan.
Bagi menghargai sokongan pelanggan, Auto ConneXion-Ford tidak hanya menumpukan kepada penjualan kenderaan, malah aktif membangunkan komuniti pemilik melalui pelbagai aktiviti termasuk program kekeluargaan, acara eksklusif dan pengalaman pemanduan luar jalan.

Awal bulan ini, acara Ford Nation dianjurkan buat pertama kali di Heritage Valley, Kuala Lumpur. Walaupun cuaca kurang mengizinkan, pemilik Ford dari pelbagai negeri tetap hadir bersama keluarga untuk memeriahkan perhimpunan tersebut.
Acara itu menawarkan pelbagai aktiviti menarik termasuk jamuan BBQ, hidangan tempatan, persembahan muzik secara langsung, cabutan bertuah serta pertandingan khas. Beberapa anugerah turut disampaikan termasuk kategori Ranger Paling Bergaya dan Pemilik Ford Paling Lama.
Selain itu, Auto ConneXion-Ford turut meneruskan program Ford Ranger Getaways yang memberi peluang kepada pemilik Ranger merasai sendiri pengalaman pemanduan dan pengembaraan luar jalan.
Program yang menghimpunkan 20 pemilik Ranger itu bermula di Seremban sebelum peserta bergerak secara konvoi ke StarFresh Agro Park di Negeri Sembilan.

Mereka dibimbing oleh jurulatih bertauliah dalam sesi latihan pemanduan off-road sambil menguji pelbagai teknologi bantuan pemandu dan sistem kawalan yang tersedia pada Ranger.
Peserta juga mengambil bahagian dalam beberapa cabaran berkumpulan yang menguji kemahiran dan kerjasama sebelum program diakhiri dengan makan malam, hiburan serta penyampaian hadiah.
Sejak diperkenalkan pada tahun 2022, Ford Ranger Getaways yang diadakan setiap suku tahun terus mendapat sambutan positif dalam kalangan pemilik yang berkongsi minat terhadap aktiviti lasak dan gaya hidup pengembaraan.
Ketua Pemasaran dan Komunikasi Sime Darby Auto ConneXion, Noerel Ismail berkata, kejayaan membina komuniti Ford yang semakin berkembang adalah hasil sokongan pelanggan yang terus mempercayai jenama tersebut.

Menurut beliau, lebih 24,000 pelanggan telah memilih Ford Ranger Generasi Baharu sejak pelancarannya dan menjadikan kenderaan itu sebahagian daripada kehidupan harian mereka sama ada untuk urusan kerja, keluarga mahupun rekreasi.
Katanya, syarikat akan terus memperkenalkan pengalaman pemilikan yang lebih bermakna dengan memberi tumpuan kepada hubungan jangka panjang bersama pelanggan selain menawarkan nilai tambah sepanjang tempoh pemilikan kenderaan.
Dalam perkembangan lain, Auto ConneXion-Ford turut memperluaskan pilihan model Ranger pada Julai lalu bagi memenuhi keperluan pengguna yang semakin pelbagai.
Antara model yang ditawarkan ialah Ranger Sport 2.0L, Ranger Sport 3.0L, Ranger Platinum 3.0L serta SUV tujuh tempat duduk Everest Sport dan Everest Platinum.
Bagi memperkukuhkan lagi pengalaman selepas jualan, syarikat itu turut membuka gudang alat ganti baharu di Kota Kinabalu.
Kemudahan tersebut dijangka mempercepatkan bekalan alat ganti dan mengurangkan tempoh menunggu pelanggan untuk kerja-kerja penyelenggaraan.
Ketika ini, Auto ConneXion-Ford disokong oleh 33 wakil pengedar di seluruh negara termasuk sembilan pusat jualan dan perkhidmatan di Malaysia Timur.
Sebagai promosi sempena pelancaran model baharu, pelanggan yang membeli Ranger XL atau Ranger Sport 2.0L sebelum 31 Ogos 2026 akan menerima kamera papan pemuka HD1080p Ford secara percuma.
Sementara itu, pembeli Ranger Sport 3.0L dan Ranger Platinum 3.0L pula layak menerima Pelan Servis Lanjutan selama dua tahun tanpa sebarang kos tambahan.
Kesemua model Ranger turut didatangkan dengan jaminan standard selama lima tahun bagi memberikan ketenangan fikiran kepada pemilik.

