
BENTLEY CONTINENTAL GT SPEED BAHARU KINI DI MALAYSIA – HARGA RM3.12 JUTA
Bentley Kuala Lumpur baru-baru ini telaj memperkenalkan generasi keempat Continental GT Speed – model Bentley GT paling berkuasa setakat ini.
Model berkenaan bukan sahaja menggabungkan gaya elegan dan keupayaan supercar, tetapi juga membawa inovasi elektrifikasi ke tahap baharu.
Model baharu ini tampil dengan enjin 4.0 liter V8 yang dipadankan bersama motor elektrik 190PS, menghasilkan kuasa sistem keseluruhan sebanyak 782PS dan tork 1,000Nm.
Daya pecutan dari 0 ke 100 km/j hanya mengambil masa 3.2 saat, manakala kelajuan maksimum mencecah 335km/j.

Lebih menarik, GT Speed ini mampu dipandu sejauh 81km dalam mod elektrik sepenuhnya, menjadikannya antara grand tourer paling versatil dan lestari di pasaran hari ini.
Continental GT Speed juga dibangunkan dengan casis canggih termasuk sistem pengendalian aktif, penyerap hentak dwi-injap, sistem pacuan semua roda pintar dan stereng empat roda. Semua ini menyumbang kepada pemanduan yang bukan sahaja tajam dan responsif, tetapi juga sangat selesa.
Rekaan luarannya pula menyuntik nafas baharu kepada identiti Bentley dengan penggunaan lampu utama tunggal – pertama kali sejak era 1950-an, dan secara keseluruhan, dari segi gaya, ia tampil elegan, termasuk dilengkapi lampu belakang tiga dimensi baharu.

Bahagian kabin kekal sebagai standard kemewahan Bentley, kini diperkaya dengan tempat duduk ‘Wellness’ yang menawarkan fungsi pelarasan postur dan kawalan suhu automatik, serta pencahayaan ambien dengan 30 pilihan warna.
Ciri menarik lain termasuklah sistem infotainmen paparan putar tiga sisi dan pilihan sistem audio Naim 2,200W untuk pengalaman audio premium.
Ditawarkan pada harga anggaran RM3.12 juta (tidak termasuk insurans dan cukai jalan), Continental GT Speed baharu kini sudah boleh didapati di Bentley Kuala Lumpur.
GALERI:






- BACA: VCM ANJUR VOLVO PADEL OPEN EDISI KEDUA, KEJOHANAN PADEL TERBESAR DI MALAYSIA
- BACA: NISSAN VANETTE, IKON VAN RAKYAT SEBELUM WUJUDNYA ALZA & EXORA
- BACA: THAILAND BERSIAP HADAPI TARIF TRUMP – EKSPORT BERPOTENSI RUGI RM26 BILION
- BACA: ALETRA L8 MULA DIPASANG DI INDONESIA – LANGKAH AWAL UNTUK PASARAN EKSPORT SERANTAU