
LOGO NETA HILANG TENGAH MALAM! HUTANG RM11.9 BILION, PEMEGANG SAHAM MENGAMUK!
Ibu pejabat Neta Auto di Shanghai menjadi tumpuan baru-baru ini apabila logo syarikat itu dilihat ditanggalkan secara senyap pada waktu malam.
Foto yang dikongsi pengguna media sosial menunjukkan beberapa pekerja menggunakan tali dan pengikis untuk menurunkan papan tanda, meninggalkan kesan samar pada dinding bangunan.
Neta mengesahkan tindakan itu berikutan tempoh pajakan bangunan telah tamat pada bulan lalu, dan menyatakan syarikat kini dalam proses berpindah, namun alamat baharu masih belum diumumkan.
Neta, suatu ketika dahulu disifatkan sebagai ‘kuda hitam’ dalam kalangan syarikat pemula kenderaan elektrik (EV) di China, kini berdepan pergelutan dalaman yang boleh menamatkan riwayatnya.

Beberapa sumber mendedahkan pemegang saham berkaitan kerajaan dalam syarikat induk Hozon New Energy Automobile sedang merancang mesyuarat lembaga untuk menyingkirkan pengasasnya, Fang Yunzhou, daripada jawatan Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif.
Langkah ini datang pada saat Neta bergelut dengan kerugian besar, gangguan rantaian bekalan, dan penutupan kilang. Fang, yang mengasaskan Hozon pada 2014, pernah dilihat sebagai pemacu utama kejayaan awal Neta. Namun kini, beliau menerima kritikan hebat daripada pelabur berkepentingan awam yang tidak berpuas hati dengan cara beliau menguruskan kewangan dan halatuju syarikat.
Dengan kerugian terkumpul melebihi 18.3 bilion yuan (sekitar RM11.9 bilion) dan nisbah hutang mencecah 217 peratus, keyakinan terhadap Fang semakin terhakis.
Malah, ada pemegang saham kerajaan yang sedang mendesak supaya Hozon melalui proses penstrukturan semula secara muflis, satu petanda serius bahawa masa depan syarikat itu semakin kabur.

Struktur pemilikan bercampur yang menggabungkan modal swasta dengan pelaburan kerajaan pada awalnya dilihat sebagai kelebihan strategik, tetapi kini menjadi punca pertikaian.
Pendekatan berisiko tinggi Fang, termasuk rancangan pengembangan agresif ke Asia Tenggara dan sasaran mencatat keuntungan menjelang 2026, dilihat bercanggah dengan pendekatan lebih konservatif para pelabur kerajaan.
Krisis kewangan yang dihadapi Neta turut menjejaskan operasi harian. Hutang yang belum dibayar kepada pembekal dikatakan mencecah lebih 6 bilion yuan (sekitar RM3.9 bilion), menyebabkan gergasi bateri seperti CATL menghentikan penghantaran.
Ini seterusnya membawa kepada penghentian pengeluaran domestik dan kelewatan dalam memenuhi pesanan luar negara, meskipun syarikat telah memperoleh talian kredit bernilai 2.15 bilion yuan di Thailand.
Isyarat kejatuhan syarikat ini sebenarnya sudah kelihatan sejak beberapa ketika. Selepas mencapai kemuncak jualan sebanyak 152,000 unit pada 2022, angka itu susut kepada 127,500 unit pada 2023 dan menjunam kepada hanya 64,549 unit pada 2024.
Laporan mengenai pemberhentian besar-besaran, penutupan kedai, dan tunjuk perasaan pembekal hanya menambahkan tekanan terhadap imej awam syarikat.
Dengan tekanan semakin memuncak dan kemungkinan penyingkiran Fang dari tampuk kepimpinan, nasib Neta kini bergantung kepada keputusan lembaga.
Sekiranya undian berpihak kepada pemegang saham kerajaan, Fang bakal kehilangan syarikat yang dibinanya, satu pengakhiran tragik buat salah seorang perintis awal industri EV China.