
PROTON LANTIK AINOL AZMIL SEBAGAI PEMANGKU TIMBALAN CEO
PROTON hari ini mengumumkan pelantikan Ainol Azmil sebagai Pemangku Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif yang akan melapor kepada Ketua Pegawai Eksekutif PROTON, Dr Li Chunrong berkuat kuasa 10 Jun 2025.
Pada masa sama, beliau akan terus menjalankan portfolio sedia ada dalam Strategi Korporat dan Perolehan Teknikal Kumpulan. Ainol mengambil alih peranan Roslan Abdullah yang akan meninggalkan jawatannya selepas berkhidmat selama lima tahun sebagai Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif.
Roslan telah membantu Proton mengukuhkan kedudukannya di Malaysia sambil juga memasuki pasaran EV dengan produk pertamanya, Proton e.MAS 7.
“PROTON mengalu-alukan Ainol Azmil sebagai Pemangku Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif. Kami yakin dengan kemampuannya untuk mengambil alih jawatan sementara ini.
“PROTON juga ingin menyampaikan penghargaan tertinggi kepada Roslan Abdullah atas sumbangannya kepada syarikat dan mengucapkan selamat maju jaya dalam usaha-usahanya yang akan datang,” kata Dr Li Chunrong.