
VCM ANJUR VOLVO PADEL OPEN EDISI KEDUA, KEJOHANAN PADEL TERBESAR DI MALAYSIA
Volvo Car Malaysia sekali lagi mencuri tumpuan dalam dunia sukan padel tanah air dengan penganjuran Volvo Padel Open edisi kedua, yang dijangka menjadi kejohanan padel terbesar di negara ini.
Edisi kali ini tampil lebih mantap dengan format perlawanan baharu, lebih banyak kategori, serta penekanan kepada pemain baharu dan pelapis sukan tersebut.
Bermula 21 Jun hingga ke pentas akhir pada 27 Julai, kejohanan ini akan berlangsung setiap hujung minggu dan dijangka menarik sehingga 320 penyertaan daripada pelbagai peringkat.

Padel, yang berasal dari era 1960-an, kini dianggap antara sukan paling pesat berkembang di dunia, dengan lebih 25 juta pemain di lebih 100 negara.
Keunikan padel adalah dimainkan secara beregu dan menekankan semangat berpasukan, menjadi faktor utama menarik minat ramai pemain baharu sejak diperkenalkan di Malaysia.
Volvo Padel Open kali ini akan diteruskan bersama rakan kelab padel tahun lalu iaitu Padelground dan PadelKu, serta memperkenalkan rakan baharu, Joy Division Padel.

Peserta tahun ini juga bakal menerima kit sukan edisi khas Volvo, akses ke sesi klinik percuma, serta layanan eksklusif semasa pusingan akhir kejohanan.
Untuk maklumat lanjut dan pendaftaran, layari www.volvocars.com/my







