Buletin

BENTLEY CONTINENTAL GT SPEED COUPE, MEWAH DAN PADU!

Apabila diperhatikan, pengguna segmen premium tempatan mempunyai pelbagai citarasa. Pilihan mereka tidak hanya berlegar sekitar Mercedes-Benz dan BMW sahaja.

Ada yang menggemari Lexus, Jaguar dan Bentley. Di negara kita pengguna boleh menikmati pelbagai jenis model sama ada melalui saluran jualan rasmi atau pengedar kenderaan recond.

Satu daripada jenama premium yang hebat ialah Bentley dan nikmat memilikinya tidak pada kemewahan sahaja di mana ianya digabungkan sekali bersama prestasi pemanduan.

Sebagai contoh, Continental GT Speed Coupe dan Convertible baharu adalah sebuah model GT (grand touring) berprestasi dan merupakan model jalanan paling dinamika yang pernah dihasilkan Bentley dan tanpa mengabaikan keselesaan dan kemewahan.

Sistem Bentley Dynamic Ride dan suspensi udara aktif tiga kebuk (three-chamber active air suspension) dengan redaman adaptif (adaptive damping) memainkan peranan penting di dalam memberikan keseimbangan serta asas kepada karakter kereta.

Lagi pula, ini adalah sebuah Bentley dan karakter keselesaan it wajib ada!

Apa yang bagus tentang Continental GT Speed/Convertible? Berikut kami senaraikan ciri-ciri menarik pada model ini:

1.Brek paling besar di dunia!

Pembeli boleh mendapatkan cakera brek yang diperbuat dari gentian seramik (carbon ceramic) dengan saiz 440mm pada bahagian depan dan kombinasi angkup depan sepuluh omboh.

Ia merupakan brek terbesar pernah dipasang pada Bentley dan paling besar di dunia!

Cakera brek generasi terbaru itu dibangunkan khas bagi memberikan prestasi cemerlang dan pad dengan bahan bebas tembaga untuk mengurangkan impak pada alam sekitar.

Tidak hanya cekap, brek itu 33 kg lebih ringan berbanding komponen yang diperbuat daripada besi. Paling penting, ia membantu mengurangkan inersia dan menjadikan pengendalian kereta lebih responsif.

Brek seramik itu telah diuji secara ekstensif di serata dunia termasuk di Nurburgring Nordschleife dan berjaya mencatatkan tahap prestasi yang belum dicapai oleh Bentley sebelum ini.

Di antara dapatan yang diperolehi ialah brek ini kalis pengurangan kuasa (brake fade) di mana selepas sepuluh kali pembrekan berturut-turut dari 128 km/j, jarak berhenti hanya meningkat 1.1 meter kepada 61.1 meter.

2. Kawalan Penstabilan Elektronik Boleh Ubah (Variable Electronic Stability Control)

Sistem ESC ini ditala dengan lebih bebas supaya pemandu dapat ‘berseronok’ sebelum sistem diaktifkan secara automatik bagi membetulkan sebarang ketidaktentuan.

Apabila sistem ESC diaktifkan, kereta akan menawarkan penstabilan walaupun di atas permukaan tidak rata dan kedudukan tidak normal semasa cuaca kurang baik.

Di dalam mod Dynamic, sistem ESC akan memberi lebih ruang kebebasan bagi membolehkan pemandu yang mahir untuk menetapkan kedudukan kereta ketika selekoh mengikut pilihan mereka sendiri.

Buat pemandu yang berpengalaman, sistem ESC boleh dipadamkan dan di sini aspek mekanikal dan keseimbangan GT Speed memainkan peranan.

Selepas fungsi All-Wheel Steering dan eLSD (electronic limited slip differential) dimainkan, pemandu di litar boleh menggunakan pedal dan stereng bagi menyeimbangkan Bentley ini mengikut penghakiman mereka.

3. All-Wheel Steering

Sistem AWS ini menajamkan lagi karakter dinamika Bentley GT Speed pada setiap mod pemanduan.

Karakternya lebih jelas dirasai di dalam mod Sport yang menggabungkan sistem Bentley Dynamic Ride dan eLSD bagi menikmati tahap ketangkasan yang tiada pada model Bentley jalanan lain sehingga penguncian stereng (steering lock) 4° pada roda belakang.

Pada kelajuan rendah dan sederhana, roda belakang GT Speed akan diputar kepada arah berlawanan dengan roda depan bagi membantu penukaran laluan dengan pantas dan meningkatkan rasa kelincahan.

Stereng kereta terasa lebih jitu dan dengan nisbah lebih pantas serta peningkatan rasa stereng (steering feel) menawarkan lebih keyakinan kepada pemandu.

Pada kelajuan tinggi, roda belakang akan berputar mengikut arah sama seperti roda depan dan meningkatkan kestabilan.

4. Electronic Limited Slip Differential

Kali pertama untuk model Bentley, Continental GT Speed ini menggunakan teknologi eLSD di mana penalaan dibuat secara bersama dengan sistem casis aktif (active chasis) dan kawalan cengkaman (traction control).

Sistem ini meningkatkan prestasi cengkaman dan menawarkan lebih keyakinan buat pemandu serya menjadikan kereta lebih stabil pada kelajuan tinggi.

Di dalam mod Sport, sistem eLSD ditala bagi menyeimbangkan pelarasan on dan off pedal, memperbaiki respon pembelokan selekoh (turn-in) dan meningkatkan tahap prestasi straight line.

Kebaikannya ialah kereta mempunyai lebih pelarasan dan pemfokusan pemandu (driver focus) berbanding sebelum ini tanpa mengorbankan keselesaan dan kestabilan. 

Karakter dinamika pembelokan (dynamic cornering) yang dipertingkatkan dan cengkaman tambahan dari sistem baharu ini membolehkan pemandu untuk keluar dari mana-mana selekoh (exit corner) dengan lebih tepat dan yakin.

Turut dinikmati apabila kereta boleh mengekstrak prestasi maksimum hasil dari cengkaman yang terbentuk dengan output dalam bentuk pecutan dan kedudukan (composure) yang cemerlang dari bucu selekoh (apex).

Pembahagian daya kilas (tork) boleh berubah mengikut Mod Pemanduan. Di dalam mod Comfort dan Bentley, sistem boleh menghantar sehingga 36 peratus tork kepada roda depan supaya kereta lebih bersahaja.

Sistem ini juga boleh bertindak balas kepada oversteer dengan menghantar sehingga 400 Nm pada roda depan.

Di dalam mod Sport, sistem menghadkan tork yang ada pada roda depan setakat 28 peratus bagi mengekalkan tahap tork yang lebih tinggi pada roda belakang dan memberikan rasa lebih dinamik.

Secara kesimpulannya, mod Sport lebih bias kepada roda belakang manakala mod Comfort dan Bentley sistem kereta memberikan keseimbangan di antara roda belakang dan depan.

Bentley Continental GT Speed dikuasakan enjin 6.0 liter turbo berkembar dengan output 659 PS dan tork maksimum 900 Nm. Enjin itu dipadan bersama transmisi lapan kelajuan dua klac.

Daya pecutan dari 0 hingga 100 km/j hanya memerlukan 3.6 saat dengan kelajuan maksimum 335 km/j.

Google ads
Back to top button