
KERETA TERPAKAI CHINA TEMBUS PASARAN BRI
Eksport kereta terpakai China ke negara rakan Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI) semakin meningkat, dengan perjanjian bernilai lebih 1 bilion yuan (RM586 juta).
Ia dimeterai pada satu acara perdagangan yang diadakan pada Rabu di Chengdu, ibu kota wilayah Sichuan di barat daya China, mencerminkan permintaan global yang semakin tinggi terhadap kenderaan terpakai berkualiti dari China pada harga berdaya saing.
Peningkatan itu susulan pembukaan penuh eksport kereta terpakai oleh China pada Mac 2024, sekali gus mempercepatkan akses ke pasaran negara BRI yang sedang mengalami pertumbuhan penggunaan kenderaan.
Peningkatan permintaan itu terbukti pada Persidangan Padanan Penawaran dan Permintaan Eksport Kereta Terpakai Sichuan yang julung kali diadakan.

Acara itu menarik hampir 40 kumpulan perdagangan dan pembeli dari 10 negara termasuk Russia, Iran, Vietnam dan Nigeria.
“Pembeli hadir dengan keperluan pembelian yang jelas,” kata Huang Ruoyu, yang mengetuai cawangan eksport kereta terpakai di Persatuan Peniaga Automobil China.
Tambah beliau, negara rakan BRI yang kini sedang menaik taraf pasaran automotif mereka semakin menggemari tawaran China yang berbaloi dari segi kos.
Naib Presiden Kesatuan Perindustrian dan Usahawan Russia-Asia, Georgii Ruabtsev menyifatkan acara itu sebagai ‘jambatan’ untuk memenuhi permintaan global, malah mencadangkan platform perdagangan kereta terpakai bersama antara China dan Russia.
Wakil Kesatuan Peniaga dan Pameran Kereta Tehran Iran, Iman Ashtari Talkhestani, pula menekankan peluang pelaburan dengan menyatakan bahawa pasaran kereta terpakai Iran sedang berkembang pesat dan menjanjikan pulangan tinggi dalam jangka pendek dan panjang.
Menurut Timbalan Pengarah Jabatan Perdagangan Wilayah Sichuan, Qiao Fang, wilayah itu mengeksport lebih 10,000 kereta terpakai bernilai 1.4 bilion yuan (RM821 juta) dari Januari hingga April 2025, meningkat 32 peratus tahun ke tahun.
Beliau menambah bahawa eksport kereta terpakai kini menjadi pemacu baharu pertumbuhan perdagangan luar Sichuan.
Pada persidangan itu, Sichuan turut mengeluarkan senarai peluang kerjasama luar negara dan konvensyen disiplin industri, selain menubuhkan pusat hubungan di enam negara bagi memperkukuh rantaian bekalan global yang mampan.
China mula mengeksport kereta terpakai pada Mei 2019, dengan peluasan pada akhir 2022 yang membolehkan Sichuan turut menjalankan eksport kenderaan terpakai. – Berita Harian



