
MOTOGP: JORGE MARTIN UMUM TINGGALKAN APRILIA
Perkembangan mengejutkan berlaku di kem Aprilia Racing MotoGP apabila Jorge Martin mengumumkan dia akan meninggalkan pasukan itu pada penghujung musim ini.
Martin, yang hanya sempat beraksi sekali sahaja musim ini bersama jentera RS-GP membuat pengumuman mengejut itu menerusi perkongsian di Instagram pada Khamis.

Sebelum ini, media Sepanyol mendakwa Martin berniat untuk menguatkuasakan klausa dalam kontrak bersama Aprilia untuk meninggalkan pasukan itu pada hujung musim 2025.
Klausa prestasi itu membenarkan Martin untuk angkat kaki sekiranya prestasi Aprilia kurang memuaskan selepas enam pusingan.
Aprilia sebelum ini telah pun mengeluarkan kenyataan menepis dakwaan kononnya Martin akan keluar dari pasukan itu. Namun, kenyataan terbaru dari Martin itu menceritakan sebaliknya.

Ketika di GP Britain, Aprilia berjaya merekodkan kemenangan pertama menerusi Marco Bezzecchi. CEO Aprilia, Massimo Rivola turut membuat kenyataan bahawa kemenangan itu adalah mesej jelas buat Martin bahawa RS-GP adalah jentera yang boleh menghasilkan kemenangan.
Untuk rekod, terdapat empat pasukan yang berpeluang menawarkan kerusi untuk Martin musim depan antaranya Honda HRC Castrol, Prima Pramac Racing, Pertamina Enduro VR46 dan LCR Honda Castrol.